BeritaMenarik

6,459 peniaga kecil terima manfaat TUNS

SEREMBAN: Sejak Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) diperkenalkan pada tahun 2019; sehinggga kini seramai 6,459 peniaga kecil telah menerima manfaat dengan agihan peruntukan berjumlah RM19 juta.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Veerapan Superamaniam (PH-Repah) berkata, statistik ini menunjukkan syarat-syarat yang ditetapkan adalah relevan dan tidaklah sukar untuk dipenuhi.

“Untuk makluman semua syarat-syarat permohonan TUNS pernah dipinda dan dilonggarkan pada tahun 2021.

“Pindaan adalah berkaitan dengan tempoh perniagaan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dikurangkan daripada enam bulan kepada tiga bulan sahaja.

“Syarat ini boleh dianggap sebagai syarat paling minima bagi memastikan perniagaan tersebut benar-benar beroperasi dan bukan didaftarkan semata-mata untuk mendapatkan inisiatif TUNS dan TUNS PLUS,” ujar Veerapan.

Veerapan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan ADUN Seri Menanti, YB Muhammad Sufian Maradzi (BN) pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Menurut Veerapan, selain daripada memastikan bantuan ini betul-betul sampai ke kumpulan sasar, syarat-syarat ini ditetapkan bagi memberi kesedaran kepada penjaja dan peniaga kecil tentang kepentingan untuk memformalisasikan entiti perniagaan mereka yang seterusnya akan memudahkan mereka mendapat bantuan dan sokongan perniagaan yang ditawarkan oleh jabatan atau agensi kerajaan yang lain mahupun dari mana-mana institusi kewangan.

“Setiap permohonan TUNS diproses berdasarkan status sesuatu permohonan sama ada lengkap, memenuhi syarat dan mengikut asas ‘yang dahulu, didahulukan’ (first come, first serve basis).

“Walau bagaimanapun, jumlah kelulusan permohonan bagi setiap tahun adalah tertakluk kepada peruntukan yang diterima.

“Oleh itu, mana-mana permohonan yang lengkap, memenuhi syarat dan yang dihantar lebih awal akan diutamakan untuk disenarai pendek dan seterusnya dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kelulusan TUNS.

“Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta dan telah disalurkan kepada 324 penerima pada bulan April yang lalu,” jelas Veerapan lagi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button