BeritaMenarik

Aduan bau di Taman Senawang Perdana tidak berasas: VEERAPAN

SENAWANG: Aduan pencemaran bau oleh salah seorang penduduk Taman Senawang Perdana adalah tidak berasas selepas siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JAS) dijalankan.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Veerapan Superamaniam berkata, siasatan awal oleh pasukan petugas JAS melalui pegawai PPKK MZO dan PJ MFD mendapati aduan yang diterima adalah tidak berasas dan tiada bau yang dikesan semasa rondaan dan siasatan dijalankan.

“Para penyiasat telah berjumpa dengan Setiausaha Persatuan Penduduk Taman, Encik Niza dan beliau juga memaklumkan tidak menerima aduan pencemaran bau daripada penduduk taman tersebut.

“Selain itu, aduan bau kimia sebelum ini juga tidak diterima selepas tindakan pihak berwajib.

“Pihak persatuan juga berjanji akan menghubungi JAS jika mempunyai aduan berhubung bau,” kata Veerapan.

Menurut Veerapan, JAS akan terus menyiasat jika wujud maklumat sah dan akan menjalankan pemantauan jika wujud aduan berulang.

“Pihak JAS juga mengadakan pemantauan secara berkala di sekitar Negeri Sembilan dalam menjaga kualiti udara serta memastikan keselamatan semua pihak.

“Saya juga ingin meminta pihak yang membuat aduan supaya menyerahkan bukti sebagai asas siasatan serta orang ramai juga perlu peka dengan insiden sebegini.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan perlu diserahkan kepada pejabat saya ataupun JAS untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan akta berkaitan,” jelas Veerapan yang juga ADUN Repah.

 

Show More

Related Articles

Back to top button