AI adalah alat memperkasa sumber manusia, bukan menggantikan manusia

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa proaktif dalam meneroka dan melaksanakan teknologi terkini termasuk elemen Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI).
AI bukan lagi sekadar wacana teknologi, tetapi ia merupakan enjin penggerak yang akan mentakrifkan semula kecekapan dan keberkesanan urus tadbir pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sedang merangka strategi yang teliti bagi mengguna pakai AI secara berperingkat, bertanggungjawab dan beretika.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, falsafah utama Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan AI adalah jelas: AI adalah alat untuk memperkasa manusia dan bukan untuk menggantikannya.
“Strategi ini dibangunkan berdasarkan prinsip sinergi antara kehebatan teknologi AI dengan kebijaksanaan, empati dan daya fikir kritis yang dimiliki oleh anggota perkhidmatan awam.
“Perancangan dan strategi Kerajaan Negeri terbahagi kepada dua paksi utama iaitu Aplikasi AI dalam Tadbir Urus dan Evolusi Peranan Penjawat Awam.
“Bagi paksi Strategi Aplikasi AI dalam Tadbir Urus, Kerajaan Negeri menggariskan tiga bidang tumpuan utama demi manfaat rakyat dan negeri:
1. Meningkatkan Kualiti Penyampaian Perkhidmatan Awam:
Pembantu Maya (Chatbots): Melaksanakan pembantu maya di portal agensi utama yang berurusan dengan dengan rakyat seperti Pihak Berkuasa Tempatan untuk menjawab pertanyaan lazim rakyat 24 jam sehari, 7 hari seminggu.
Ini membolehkan rakyat mendapat maklumat dengan pantas seperti prosedur permohonan lesen, bayaran cukai taksiran atau status aduan. Inisiatif ini akan diberi penumpuan dalam perancangan projek RMK-13.
2. Memperkasa Penjawat Awam dan Meningkatkan Kecekapan Operasi:
Automasi Data: AI digunakan bagi mengautomasikan kerja-kerja pentadbiran rutin yang memakan masa seperti kemasukan data, penyediaan minit mesyuarat, penyediaan slide pembentangan, video pendek dan penjanaan laporan berkala.
Ini dapat menjimatkan masa penjawat awam daripada melaksanakan tugasan yang repetitif.
Bantuan Capaian Maklumat: Penyediaan platform sistem carian pintar yang membolehkan penjawat awam mengakses maklumat spesifik dari ribuan rujukan dokumen, enakmen dan pekeliling negeri dengan pantas.
AI bertindak sebagai pembantu penyelidik yang cekap, mempercepatkan penyediaan kertas kerja dan laporan.
3. Menyokong Pembuatan Dasar Berasaskan Bukti (Evidence-Based Policy Making):
Analitik Prediktif: Menggunakan AI untuk menganalisis set data yang yang diuruskan bagi mengenal pasti pola dan trend. Contohnya, data kutipan cukai negeri untuk meramal hasil negeri pada masa akan datang atau data taburan hujan untuk ramal kemungkinan kejadian banjir yang mungkin berlaku.
Ini membolehkan Kerajaan Negeri membuat dasar yang lebih proaktif dan berkesan.
Bagi paksi kedua iaitu Evolusi Peranan Penjawat Awam.
Kerajaan Negeri menegaskan bahawa strategi penerapan AI bukanlah sebuah laluan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam.
Sebaliknya, ia adalah satu pelan untuk meningkatkan nilai dan evolusi peranan mereka.
Dengan automasi pintar dalam menangani tugas-tugas rutin, peranan penjawat awam akan beralih kepada fungsi yang memerlukan sentuhan manusia yang tidak boleh diganti oleh mesin. Ini termasuk:
o Pemikiran Kritis dan Penyelesaian Masalah Kompleks.
o Empati dan Interaksi dengan Pelanggan dalam memberi khidmat nasihat.
o Kreativiti dan Inovasi dalam merangka dasar baharu.
o Tadbir Urus dan Pengawasan Etika untuk memastikan sistem AI berfungsi dengan adil dan saksama.
Kerajaan Negeri turut melaksanakan program peningkatan kemahiran (Reskilling & Upskilling) secara berterusan untuk melengkapkan penjawat awam dengan kemahiran digital yang relevan.
Latihan ini merangkumi literasi data, penggunaan tools/alatan AI untuk memudahkan kerja harian seperti Canva Graphic Editor, Google Gemini AI, Suno AI Music Maker serta penerapan etika digital.
Matlamatnya bukan untuk menjadikan setiap penjawat awam sebagai pakar AI, tetapi pengguna teknologi yang bijak dan efisien dalam melaksanakan tugas harian
Fungsi teras perkhidmatan awam seperti penggubalan dasar, penguatkuasaan undang-undang dan perhubungan diplomatik akan terus diterajui oleh manusia.
AI hanya akan bertindak sebagai alat bantu untuk menyediakan analisis dan sokongan data, manakala keputusan akhir dan akauntabiliti kekal terletak pada penjawat awam dan kepimpinan Kerajaan.
Perancangan Kerajaan Negeri adalah untuk mengguna pakai AI sebagai rakan strategik dalam tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan.
Visi kerajaan adalah untuk mewujudkan perkhidmatan awam Negeri Sembilan yang efisien, mengurangkan karenah birokrasi dan berasaskan data di mana penjawat awam dapat memberi tumpuan kepada tugas bernilai tinggi yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Kerajaan Negeri komited untuk menjadikan transformasi ini sebagai satu perjalanan evolusi jangka panjang yang dilaksanakan secara terancang, inklusif dan beretika.
Aminuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (BN-Rantau) di Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.