SEREMBAN: Seorang akauntan berusia 29 tahun dilantik sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu, sekali gus menjadi Undang ke-11 bagi luak berkenaan.
Individu berkenaan, Muhammad Faris Johari dipilih menerusi istiadat kerapatan di Telaga Undang pada 22 April lalu.
Perkara itu diumumkan Waris Nan Tua Klana Hulu, Datuk Shaharumzaman Abdul Malek bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu serta Waris-Waris Klana Hulu dalam satu kenyataan, hari ini.
“Majlis tersebut turut disaksikan Ibu Soko Waris Negeri, Waris Negeri, Datuk Lembaga Lingkungan, Buapak Lingkungan serta pegawai kerajaan.
“Pemilihan ini dibuat mengikut salasilah seperti termaktub dalam Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 serta hukum adat ‘patah tumbuh’ di bawah Fasal 5 Undang-undang Sungei Ujong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, berdasarkan Fasal 48 (VI) Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910, pelantikan tersebut disahkan oleh Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim selaku Tua Lembaga Waris di-Darat yang sah dan diiktiraf Kerajaan Negeri Sembilan.
“Aturan adat juga menetapkan pelantikan Datuk Klana Petra dibuat tanpa campur tangan pihak luar selaras Fasal 14 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” tambahnya.
Sebelum ini, Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak dilaporkan dipecat daripada jawatannya dan perkara itu turut diperakui kerajaan negeri.
Mubarak sebelum ini bersama tiga Undang lain mengisytiharkan pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataan pada 20 April lalu menegaskan tindakan tersebut tidak boleh diterima atau diiktiraf.
Menurutnya, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong selain tindakan itu tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.



