Berita

mySUWa perkukuh transformasi perkhidmatan JPN: Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus mempergiat usaha transformasi perkhidmatan awam menerusi pelancaran sistem mySUWa oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang dilihat sebagai langkah signifikan ke arah pendigitalan dan peningkatan kecekapan penyampaian kepada rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan sesuatu organisasi bergantung kepada pembentukan pasukan yang tepat serta pengamalan budaya semak dan imbang yang kukuh.

“Kepimpinan yang berkesan bermula dengan the right team, disokong budaya check and balance serta keseimbangan antara integriti dan kompetensi bagi memastikan organisasi kekal dinamik dan berdaya tahan,” katanya dalam hantaran sempena Perhimpunan Bulanan KDN bagi Mei 2026 di sini.

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh JPN dengan pelbagai pengisian termasuk peluncuran mySUWa, persembahan Muzikal Teater Revolusi Kad Pengenalan serta pembentangan inisiatif transformasi jabatan berkenaan.

Menurut beliau, KDN turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan sempadan negara susulan lawatan lapangan selama dua minggu yang dilaksanakannya baru-baru ini.

“Fokus diberikan kepada usaha membanteras penyeludupan, memperkukuh keupayaan radar serta menutup blind spot di kawasan berisiko tinggi.

“Penambahbaikan infrastruktur keselamatan termasuk projek radar dan pembinaan pos kawalan baharu akan terus dipergiat bagi memastikan tahap keselamatan negara sentiasa terpelihara.

“Dalam pada itu, KDN juga sedang melaksanakan pemodenan sistem pintu masuk negara melalui inisiatif NIISe, termasuk penyediaan kemudahan autogate di lapangan terbang serta laluan strategik seperti RTS Johor bagi melancarkan pergerakan keluar masuk negara,” jelas Saifuddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian bersedia melancarkan dokumen pengenalan diri dan pasport dengan ciri keselamatan baharu menjelang Jun ini sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha KDN, Dato’ Dr. Awang Alik Jeman; Ketua Polis Negara, Dato’ Seri Mohd Khalid Ismail; serta pengurusan tertinggi KDN dan ketua-ketua jabatan serta agensi di bawah kementerian.

Show More

Related Articles

Back to top button