Berita

Inisiatif Guru Sediakan Makanan Percuma Disambut Baik ADUN Sri Tanjung

SEREMBAN: Satu inisiatif kebajikan yang dilaksanakan di SMK Raja Jumaat mendapat perhatian apabila makanan percuma disediakan kepada pelajar yang terkesan dengan isu kebajikan.

Melalui satu hantaran media sosial, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, G. Rajasekaran, beliau dimaklumkan mengenai usaha tersebut yang diselaraskan oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM), Puan Noorhuda Mohamad Ali, yang mengambil langkah proaktif membantu pelajar memerlukan.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan tinggi warga pendidik dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga khususnya dalam kalangan mereka yang berdepan kesukaran.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Noorhuda atas usaha dan komitmen beliau. Guru seperti inilah yang menjadi tulang belakang dalam memastikan tiada pelajar hadir ke sekolah dalam keadaan lapar,” katanya

Dalam pada itu, Rajasekaran memaklumkan kes pelajar terlibat telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) bagi membolehkan tindakan susulan dan penyaluran bantuan dilaksanakan secara lebih sistematik dan menyeluruh.

Beliau berkata, Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sri Tanjung akan terus memantau perkembangan kes berkenaan bagi memastikan kebajikan pelajar terbabit sentiasa terpelihara.

“Keutamaan kita adalah memastikan mereka dapat memberikan fokus sepenuhnya dalam pembelajaran tanpa dibebani masalah asas seperti kekurangan makanan,” ujarnya.

Tambah beliau, pendidikan merupakan jambatan penting dalam mengubah nasib keluarga,justeru jaring keselamatan sosial di peringkat sekolah perlu diperkukuh melalui kerjasama erat antara pihak sekolah, agensi kerajaan serta pejabat wakil rakyat.

Secara keseluruhannya, usaha bersepadu antara warga pendidik, agensi kerajaan dan pejabat ADUN dilihat mampu memperkukuh sistem sokongan sosial di sekolah, sekali gus memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara dan peluang pendidikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa halangan.

Show More

Related Articles

Back to top button