SEREMBAN: Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengarahkan seluruh jentera parti supaya berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di tiga negeri.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, arahan itu dibuat susulan kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dalam masa terdekat.
“Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang berlangsung di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, malam tadi.
“Mesyuarat turut membincangkan perkembangan terkini krisis politik di Negeri Sembilan dan memutuskan beberapa pendirian termasuk tidak bersetuju dengan cadangan pertukaran Menteri Besar.
“DAP tidak akan menyokong sebarang cadangan menukar Menteri Besar ketika ini selepas cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sedia ada gagal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, DAP berpandangan isu melibatkan institusi Raja dan Adat Pepatih perlu ditangani dengan penuh hormat serta tertib mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.
“Kami sentiasa menjunjung institusi Raja Berperlembagaan termasuk menzahirkan taat setia kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“DAP turut menjunjung kasih atas titah baginda supaya kerajaan negeri terus berfungsi seperti biasa di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun,” tambahnya.



