KKM Laksana Pendekatan Holistik Tangani Kesesakan Fasiliti Kesihatan Bandar

SEREMBAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah strategik secara holistik bagi menangani isu kesesakan di fasiliti kesihatan sekitar ibu kota, melibatkan perancangan jangka panjang serta intervensi segera.
Melalui satu hantaran media sosial Menteri Kesiharan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan sistem kesihatan awam terus berfungsi secara efisien tanpa menjejaskan kualiti rawatan kepada rakyat.
“Peruntukan sebanyak RM85.9 juta telah diluluskan bagi pembinaan fasiliti baharu di Klinik Kesihatan (KK) Menjalara yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 256,000 penduduk di kawasan sekitar serta membantu mengurangkan kesesakan pesakit
“Dalam tempoh menunggu fasiliti baharu ini siap, KKM memberi jaminan bahawa kualiti rawatan sedia ada tidak akan dikompromi,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak RM600,000 turut disalurkan segera kepada KK Segambut bagi pelaksanaan beberapa penambahbaikan, termasuk penggunaan Sistem Pengurusan Giliran (QMS) digital untuk memendekkan tempoh menunggu pesakit.
Selain itu, peruntukan tersebut juga melibatkan perolehan peralatan baharu seperti Hematology Analyzer bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan diagnostik di fasiliti berkenaan.
“Pendekatan yang dirancang secara teliti dan tindakan pantas ini mencerminkan iltizam berterusan kerajaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan saksama kepada rakyat.
“Kerajaan akan terus menggembleng tenaga bagi memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya.
Justeru itu, langkah proaktif KKM ini dilihat mampu menjadi penyelesaian bersepadu dalam menangani isu kesesakan fasiliti kesihatan di kawasan bandar sekali gus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan awam yang lebih cekap, responsif dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat.



