Aminuddin harap Negeri Sembilan tidak popular di Malaysia

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyatakan hasrat beliau yang mahu Negeri Sembilan tidak popular dengan kegiatan aktiviti dadah di negara ini.
Peringatan tersebut diberikan oleh beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Sembilan Bilangan 2 Tahun 2025 yang telah berlangsung di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
“Saya ingin mengingatkan kepada ahli mesyuarat agar menjaga dan mengawal aktiviti penagihan dadah agar negeri ini tidak terkenal dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dan bahan larangan agar selari dengan Tahun Melawat Negeri Sembilan pada tahun 2026 kelak.
“Selain itu, saya juga mahu jabatan-jabatan, agensi serta pemimpin komuniti agar meningkatkan kerjasama dan usaha agar masalah penyalahgunaan dadah dapat dibanteras,” kata Aminuddin.
Pada mesyuarat kali ini, dua kertas pemakluman telah dibentangkan berkaitan Pelaksanaan Dadah Terkawal 2025 Negeri Sembilan di FELDA oleh Pengurus Besar FELDA Wilayah Raja Alias dan Situasi Semasa Penguatkuasaan Akta 852 dan Trend Kes HIV di Negeri Sembilan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, dua pelaporan berkaitan senario dadah semasa turut dibentangkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut hadir pada mesyuarat ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok; dan Pengarah AADK Negeri Sembilan, Ruziliza Ibrahim.
——————————————-
Hubungi talian hotline AADK 1-800-22-2235 (AADK) atau Whatsapp 019 626 2233 untuk khidmat nasihat, pertanyaan dan aduan.
Layari aadk.gov.my untuk ketahui perkhidmatan AADK.