Berita

Aminuddin santuni pesakit terlantar di Kampung Paya

PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menziarahi beberapa pesakit terlantar menerusi program Ziarah Kasih di Kampung Paya, di sini, selepas menunaikan solat sunat Tarawih.

Aminuddin berkata, antara yang diziarahi termasuk mangsa kemalangan jalan raya, warga emas uzur dan individu yang menghidap pelbagai penyakit kronik.

“Dalam kunjungan tersebut, saya turut meluangkan masa bertanya khabar, mendengar perkembangan kesihatan pesakit serta memberikan kata-kata semangat kepada keluarga yang menjaga.

“Saya juga menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan bagi membantu meringankan beban pesakit dan keluarga.

“Program ziarah ini merupakan usaha berterusan untuk mendekati rakyat serta memastikan kebajikan golongan memerlukan terus diberi perhatian.

“Ziarah Kasih itu juga selari dengan semangat Ramadan dalam menyemai nilai empati, kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat setempat,” kata Aminuddin.

Beliau turut diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dato’ Dr. G. Rajasekaran bagi menyantuni pesakit serta ahli keluarga masing-masing.

Show More

Related Articles

Back to top button