
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun meluangkan masa meninjau kawasan karnival selepas merasmikan Sambutan Jubli Perak Sekolah Kebangsaan (SK) Sikamat di sini.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti dan pameran yang disediakan berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung serta memeriahkan sambutan yang diadakan bersempena ulang tahun ke-25 sekolah berkenaan.
“Pelbagai booth menarik disediakan antaranya gerai makanan dan minuman, cenderamata, pameran, rumah haiwan serta pelbagai aktiviti yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung,” katanya.
Menurut beliau, kesempatan itu turut digunakan untuk beramah mesra dengan murid-murid, ibu bapa, guru-guru serta masyarakat setempat yang hadir memeriahkan program berkenaan.
“Paling menceriakan suasana pastinya pelbagai gelagat dan telatah anak-anak kecil yang cukup mencuit hati. Ada yang datang bersalaman, bergambar dan berbual mesra.
“Alhamdulillah, dapat juga saya berkongsi sedikit rezeki bersama mereka pada hari ini,” katanya.
Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, walaupun cuaca agak panas terik, semangat dan kehadiran orang ramai yang memenuhi kawasan karnival amat membanggakan.
Menurutnya, program seumpama itu bukan sahaja menjadi platform mengumpul dana bagi sekolah, malah berperanan mengukuhkan hubungan silaturahim antara warga sekolah, ibu bapa, alumni dan komuniti setempat.
“Program seperti ini bukan sahaja menjadi platform mengumpul dana bagi sekolah, malah mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara warga sekolah, ibu bapa, alumni dan komuniti setempat.
“Semoga semangat kebersamaan dan kerjasama yang ditunjukkan terus diperkukuhkan demi manfaat anak-anak serta pembangunan pendidikan di SK Sikamat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan menjayakan karnival tersebut.




