Berita

Ahmad Shahir mohon maaf dan dedah asal usul naratif ‘Tok Undang’

1. Sebagai anak Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat, budaya dan Institusi Undang yang menjadi teras identiti negeri ini, saya memandang serius penggunaan gelaran “Dato’ Undang” kerana ia melibatkan sensitiviti Institusi Adat Perpatih yang sewajarnya dihormati oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

2. Bagi memahamkan semua pihak berkenaan situasi semasa Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan Negeri Sembilan, saya mulakan dengan permohonan maaf kepada Ke Bawah Kaus YTM/YAM Dato’-Dato’ Undang Yang Empat atas tindakan saya yang berseloroh dengan YB Anthony Loke dengan memetik gelaran yang diberikan dalam media sosial kepada beliau “Tok Undang”.

Atas kekhilafan tersebut, saya menginsafi dan berharap agar isu ini dapat menjernihkan kekeruhan yang berlaku.

3. Kepada YAM Dato’-Dato’ Undang Yang Empat, para Telaga Undang serta seluruh rakyat Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat dan tradisi negeri ini, saya ingin menegaskan bahawa Pakatan Harapan sentiasa menghormati dan mempertahankan kemuliaan Institusi Undang sebagai warisan berharga yang menjadi identiti serta kebanggaan Negeri Sembilan.

4. Sebagai tambahan dan hasil penelitian dan rekod sejak 27 April 2026 yang lalu, saya telah simpan tangkapan skrin platform serta individu yang menggunakan atau membiarkan penggunaan gelaran seperti berikut:

1. Suara Rakyat Paroi (halaman pro-UMNO);

2. Team Dr Akmal Saleh (halaman UMNO) ;

3. Kembara Tanah Biso;

4. Kamil Carlos;

5. Aizley;

6. Rokiah Kasim;

7. Tamim Al-Malizie;

8. Nafisa Madu Syakila;

9. Rebelttdo Rafieq;

10. Khairil Yusrizar; dan

11. Syah Fendi.

 

5. Perkembangan yang berlaku selepas 13 Jun 2026 menunjukkan bahawa naratif tersebut terus dimainkan dan disebarkan secara meluas oleh pelbagai platform media sosial yang mempunyai kecenderungan politik tertentu, khususnya di Negeri Sembilan.

Keadaan ini menimbulkan persoalan yang wajar dijawab oleh pihak-pihak yang selama ini mendakwa diri mereka sebagai pembela adat dan institusi tradisi negeri.

6. Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin menafikan perkara ini, saya ingin menegaskan bahawa semua hantaran, komen dan bahan berkaitan telah direkodkan serta disimpan sebagai rujukan.

Fakta dan bukti yang ada membolehkan rakyat menilai sendiri bagaimana naratif ini bermula, siapa yang memainkannya dan siapa yang kemudiannya cuba meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

7. Tindakan membiarkan gelaran yang menyentuh sensitiviti Institusi Undang digunakan secara terbuka dan berterusan tanpa sebarang teguran juga menimbulkan persoalan tentang sejauh mana komitmen pihak-pihak tertentu dalam mempertahankan kemuliaan institusi adat yang mereka dakwa sebagai garis merah perjuangan mereka.

8. Pendedahan ini bukan bertujuan memanjangkan polemik politik, sebaliknya untuk menjelaskan fakta dan kronologi sebenar kepada rakyat.

Saya menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat Negeri Sembilan untuk menilai sendiri siapakah yang mula memainkan naratif ini dan siapakah yang benar-benar konsisten dalam mempertahankan kemuliaan Institusi Undang daripada dijadikan bahan sindiran atau alat percaturan politik.

9. Apa yang lebih penting, marilah kita bersama-sama memastikan institusi adat yang menjadi kebanggaan negeri ini terus dihormati, dipelihara dan dipertahankan oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang politik.

Adat dan warisan yang telah sekian lama menjadi tunjang Negeri Sembilan wajar diangkat sebagai simbol perpaduan, bukannya dijadikan bahan perbalahan atau persaingan politik sempit.

Saya akan menyerahkan kepada pihak PDRM dan MCMC untuk mengambil tindakan kepada pemilik-pemilik akaun tersebut berdasarkan akta yang ada dalam perlembagaan Malaysia.

“Adat dikandung zaman, pusaka dijunjung sepanjang hayat.”

Sekian, terima kasih.

Ahmad Shahir Mohd Shah

Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

15 Jun 2026

 

Show More

Related Articles

Back to top button