Aminuddin turun padang, Pesakit Kanser terima bantuan RM1,000
SIKAMAT: Sekitar 20 buah rumah telah dilawati oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun bagi bertemu secara langsung dengan penduduk setempat di DUN Sikamat di sini.
Dalam lawatan itu, beliau turut menziarahi lima individu yang menghidap penyakit kanser dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 setiap seorang melalui inisiatif Bantuan Pesakit Kanser Negeri Sembilan (KanserCare).
Program ini merupakan inisiatif baharu di bawah Belanjawan Negeri Sembilan 2026 yang bertujuan membantu pesakit kanser mengurangkan beban kewangan.
Bantuan ini terbuka kepada semua pesakit kanser kelahiran Negeri Sembilan yang disahkan oleh doktor tanpa mengira status pendapatan.
Menteri Besar menjelaskan bahawa lawatan turun padang seperti ini bukan sekadar menyampaikan bantuan malah bertujuan memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan negeri khususnya mereka yang sedang berdepan ujian kesihatan.
“Saya mendoakan agar semua yang sedang sakit diberikan kekuatan, kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan. Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus komited memastikan bantuan dan sokongan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan selaras dengan aspirasi kerajaan Negeri Sembilan untuk membina masyarakat yang sejahtera dan prihatin.




