Berita

Aminuddin umum buka kawasan industri bioteknologi 400 ekar di Bandar Enstek

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan membangunkan kawasan perindustrian berasaskan industri bioteknologi seluas 400 ekar di Bandar Enstek.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri komited bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan dengan segera dalam usaha mengembangkan industri bioteknologi negara.

“Hasil perbincangan kita dengan beberapa syarikat bioteknologi dari dalam dan luar negara, pelabur ini menyatakan hasrat mereka untuk membina pusat bioteknologi di Negeri Sembilan.

“Saya yakin ia dapat menarik ramai pengusaha bioteknologi termasuk dari China dan memastikan dilaksanakan dengan segera kerana mereka mahu melaksanakan pengembangan industri di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, hasil lawatan Aminuddin ke China baru-baru ini, sebuah syarikat pengeluar komponen yang eksport produk mereka ke Malaysia, berminat untuk membuka sebuah kilang di Negeri Sembilan.

“Di Guangzhou, saya telah melawat sebuah syarikat semikonduktor yang merupakan pengeluar komponen untuk syarikat On Semi, Nexperia dan Texas Instruments.

“Akhirnya mereka telah bersetuju untuk datang (melabur) ke Negeri Sembilan di SPD Tech Valley untuk membina sebuah syarikat komponen semikonduktor yang baharu.

“Alhamdulillah, selepas lawatan kami ke kilang tersebut, mereka telah menghantar notis kepada pemaju kawasan industri tersebut untuk urusan pembinaan kilang dapat dilaksanakan dengan segera.

“Semasa lawatan tersebut, kita juga bersetuju supaya mereka dapat memulakan operasi mereka seawal Disember 2026.

“Kerajaan Negeri akan membantu syarikat ini untuk mematuhi segala peraturan agar kelulusan dapat diberikan untuk mereka beroperasi di negeri ini,” jelas Aminuddin.

 

Show More

Related Articles

Back to top button