Anugerah cemerlang permulaan kepada perjalanan lebih gemilang

SERI MENANTI: Golongan pendidik yang tidak pernah jemu memberikan ilmu, bimbingan dan motivasi diberi setinggi-tinggi penghargaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi.
“Guru bukan sahaja mendidik kami dalam pelajaran tetapi juga membentuk kami menjadi individu yang berdaya saing, bertanggungjawab dan berakhlak mulia.
“Tanpa usaha gigih mereka kejayaan hari ini tidak akan tercapai.
“Harapan saya kepada semua penerima anugerah cemerlang ini adalah permulaan kepada perjalanan yang lebih gemilang.
“Teruskan usaha untuk mencapai impian dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.
“Kehidupan ini penuh dengan cabaran tetapi dengan semangat yang teguh dan ilmu yang terus ditimba, saya yakin anda semua akan menempa kejayaan yang lebih besar di masa hadapan,” kata Muhammad Sufian di Majlis Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Yamtuan Hitam 2024/2025.
Muhammad Sufian turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan serta kepercayaan dan menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan pelajar.
“Semoga kita semua terus maju dan berjaya dalam apa jua yang kita impikan,” ulas beliau.