Anwar Ibrahim Kecam Tindakan Israel : Kini Kapal Misi FFC Dipintas Israel di Perairan Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Zionis Israel yang telah memintas secara tidak sah kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) di perairan antarabangsa sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
Menerusi hantaran di platform media sosialnya semalam, Anwar menyifatkan tindakan provokatif itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa serta satu perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap mereka yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza.
“Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat,” katanya.
Perdana Menteri turut menuntut agar semua aktivis dan sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal berkenaan dibebaskan dengan segera serta diberikan perlindungan sewajarnya sepanjang tempoh tahanan.
Anwar menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan berusaha sedaya upaya melindungi keselamatan setiap rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut selain berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka secepat mungkin.
Sementara itu, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) memaklumkan bahawa sembilan kapal termasuk Conscience dan Umm Saad yang dinaiki sembilan aktivis negara telah dipintas secara tidak sah oleh tentera Israel pada waktu yang sama.
Menurut MyCARE, lapan delegasi Malaysia menaiki kapal Conscience milik FFC yang diketuai oleh Ketua Misi, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali. Turut serta ialah Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil. Misi ini turut diikuti oleh dua pensyarah universiti iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar. Manakal, kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.
Kapal terbesar misi itu membawa seramai 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis serta enam anggota Jawatankuasa Pemandu FFC.
Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCARE bersama 93 peserta dari 22 negara yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu. Secara keseluruhan, misi kemanusiaan ini membabitkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan wakil Malaysia.
Sebelum ini, wakil Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Flotilla Coalition (GFC) telah ditahan dan kemudiannya dibebaskan serta dibawa pulang ke tanah air. Kini, misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) pula menjadi sasaran apabila kapal mereka turut ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.