Anwar Pertimbang Tiket MADANI Untuk Perlumbaan F1 Oktober Ini

PORT DICKSON: Kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan tiket MADANI bagi perlumbaan Formula 1 (F1) yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat menyaksikan acara sukan permotoran berprestij itu.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut dibuat selepas menerima maklum balas daripada orang ramai yang berharap terdapat pilihan tiket pada harga lebih mampu milik.
“Harga tiket F1 ketika ini ditetapkan mengikut kadar antarabangsa, dengan tiket paling rendah berharga RM200.
“Ramai yang sudah membeli tiket kerana harganya mengikut kadar antarabangsa. Ada yang bertanya kepada saya sama ada akan ada tiket MADANI.
“Insya-Allah kita akan pertimbangkan. Cuma tempat duduknya mungkin sedikit jauh. Jangan pula bayar harga tiket MADANI tetapi mahu duduk di barisan hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan di Port Dickson, hari ini.
Perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober depan dan dijangka menarik penyertaan serta kehadiran peminat sukan permotoran dari dalam dan luar negara.
Cadangan memperkenalkan tiket MADANI itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluaskan peluang kepada rakyat menikmati acara bertaraf antarabangsa pada kadar yang lebih berpatutan tanpa menjejaskan pelaksanaan penganjuran perlumbaan tersebut.



