Zainal Fikri komited selesai isu asas Orang Asli, perumahan generasi kedua Felda di Sungai Lui

SUNGAI LUI: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Zainal Fikri Abd Kadir berjanji memberi tumpuan kepada penyelesaian isu-isu asas membabitkan masyarakat Orang Asli dan masalah perumahan generasi kedua Felda sekiranya diberi mandat pada pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, hasil lawatan ke beberapa kampung termasuk penempatan Orang Asli di kawasan itu mendapati masih terdapat penduduk yang belum menikmati kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik meskipun negara telah lama mencapai kemerdekaan.
“Saya dapati walaupun negara sudah merdeka selama 69 tahun, masih ada keluarga besar kita yang tidak mempunyai bekalan air bersih, bekalan elektrik dan ada rumah yang masih diperbuat daripada kayu serta buluh.
“Bagi saya, perkara asas seperti ini tidak sepatutnya berlaku jika suara rakyat benar-benar dibawa kepada agensi berkaitan,” kata Zainal Fikri.
Zainal Fikri berkata, ketika bertugas di kawasan itu sebelum ini, beliau berjaya membawa beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu membaik pulih tandas di perkampungan Orang Asli walaupun tidak mempunyai hubungan langsung dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Sehubungan itu, beliau komited menawarkan khidmat mesra masyarakat dengan memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah asas di penempatan Orang Asli.

Selain itu, Zainal Fikri berkata, isu perumahan generasi kedua Felda turut menjadi fokus utama kerana masih ramai keluarga terpaksa tinggal berhimpit dalam satu rumah.
“Kadangkala satu lot rumah didiami tiga hingga empat keluarga.
“Ini adalah perkembangan yang kurang sihat untuk komuniti kita.
“Isu perumahan generasi kedua sepatutnya sudah lama diselesaikan,” ujarnya.
Beliau turut mendakwa masih terdapat projek perumahan generasi kedua yang terbengkalai, khususnya di Felda Pasoh 2 dan Felda Pasoh 3, walaupun isu itu pernah dijanjikan untuk diselesaikan oleh Barisan Nasional pada pilihan raya lalu.
Katanya, sekiranya diberi mandat mewakili DUN Sungai Lui, beliau akan menjadikan penyelesaian isu perumahan generasi kedua sebagai antara keutamaan.
Menurut beliau, kawasan seluas 124 ekar di Anak Air Kering, Felda Lui Barat telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai penempatan generasi kedua menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS).



