Berita

Zarinna tekad pastikan kebajikan rakyat Lenggeng terus terbela

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Zarinna Abu Zarin beriltizam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan menerusi pelaksanaan Inisiatif KASIH Rahmah Lenggeng.

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan, khususnya membabitkan pendidikan, kebajikan dan sokongan kepada kumpulan rentan.

Menurutnya, perhatian akan diberikan kepada bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi, keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang berdepan masalah kesihatan.

“Melalui Inisiatif KASIH Rahmah Lenggeng, kita mahu memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir.

“Kita juga akan memperkukuh Skuad KASIH Lenggeng sebagai jaringan komuniti yang prihatin dan pantas membantu rakyat,” katanya ketika melancarkan tujuh tawaran untuk DUN Lenggeng.

Bekas jururawat itu berkata, pengalaman berkhidmat dalam sektor kesihatan memberinya peluang melihat sendiri kesukaran hidup yang dihadapi rakyat.

Zarinna berkata, pembangunan sesebuah kawasan bukan hanya bergantung kepada pembinaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu memberi penekanan kepada pembangunan insan.

“Saya percaya seorang wakil rakyat mesti sentiasa bersama rakyat ketika mereka menghadapi cabaran kehidupan.

“Masyarakat yang kuat ialah masyarakat yang tidak membiarkan seorang pun tercicir,” ujar Zarinna.

Show More

Related Articles

Back to top button