DAP Negeri Sembilan buat laporan polis, gesa siasat dakwaan kononnya parti ‘pegang’ institusi Istana

SEREMBAN: Setiausaha Publisiti DAP Negeri Sembilan, Lim Chun Weng, membuat laporan polis berhubung satu video tular yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap DAP berkaitan institusi Istana.
Menurut Lim, laporan itu dibuat selepas beliau menonton video yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Jason Yew, yang memaparkan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Rembau, Shukri Shamsuddin, mendakwa DAP “pegang” institusi Istana.
Lim berkata dakwaan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas dan berpotensi mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Saya berpendapat bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar, berunsur fitnah dan dibuat tanpa sebarang asas fakta.
“Kenyataan sedemikian boleh memberikan gambaran palsu kepada masyarakat bahawa DAP mempunyai pengaruh atau mengawal institusi Istana, sedangkan dakwaan tersebut tidak pernah dibuktikan,” katanya.
Beliau turut berpandangan kenyataan itu bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi DAP, malah berpotensi mencetuskan salah faham, menghasut kebencian serta mengganggu keharmonian masyarakat kerana menyentuh isu sensitif melibatkan institusi diraja.
“Sebagai seorang pemimpin politik, Shukri Shamsuddin sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan kepada umum dan tidak menyebarkan dakwaan yang berunsur fitnah serta boleh mengganggu ketenteraman awam,” kata Lim lagi.
Sehubungan itu, Lim memohon Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan terhadap kenyataan berkenaan kerana percaya ia mungkin melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) dan/atau 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata laporan polis itu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.



