Aminuddin Sokong Pendirian Istana, Institusi Diraja Tidak Wajar Dikaitkan Dengan Politik

LUKUT : Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyokong pendirian Istana Negeri Sembilan yang menegaskan Institusi Diraja sentiasa berkecuali dan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.
Aminuddin berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya mengaitkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dengan kepentingan politik kerana institusi Diraja merupakan lambang perpaduan dan keharmonian rakyat.
“Saya lihat dua tiga hari ini di media sosial ada satu kenyataan yang saya anggap biadab kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Ia menggambarkan seolah-olah Tuanku boleh dikaitkan dengan mana-mana parti politik sedangkan kita sedia maklum Institusi Diraja adalah satu institusi yang cukup dijaga,” katanya.
Aminuddin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Mesra Rakyat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim di Dewan The Grand Lukut di sini.
Aminuddin berkata, penghormatan terhadap Institusi Diraja bukan sahaja melibatkan masyarakat Melayu, malah seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan keturunan.
“Bukan sahaja orang Melayu menghormati institusi ini malah rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama ataupun keturunan sentiasa menganggap institusi ini adalah satu institusi yang harus dipertahankan,” katanya.
Aminuddin berkata, sebarang cubaan mengaitkan Institusi Diraja dengan kepentingan politik boleh menjejaskan maruah dan integriti institusi.
“Saya rasa pihak keselamatan perlu mengambil tindakan tegas dengan segera kerana kita tidak mahu selepas pilihan raya baru tindakan diambil sedangkan perkara ini sudah menjejaskan maruah dan integriti Institusi Diraja,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin turut menyentuh mengenai penggunaan isu berkaitan kaum dan kedudukan orang Melayu yang menurutnya cuba dimainkan oleh pihak tertentu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Aminuddin berkata, cubaan mengaitkan perkara tersebut telah dimainkan sejak awal kempen namun tidak mendapat tempat kerana rakyat Negeri Sembilan lebih matang dalam membuat penilaian.
“Rakyat Negeri Sembilan ini lebih matang.
“Mereka memerlukan apa yang akan diberikan kepada mereka, bukan naratif perkauman yang keterlaluan.
“Kita sendiri maklum bahawa kita telah bina negara ini dalam keadaan yang stabil, makmur dan sejahtera.
“Jadi apabila ada unsur-unsur sebegini, ia memang tidak mendapat tempat di hati masyarakat,” katanya.
Aminuddin berkata, hanya segelintir pihak yang cuba menjadikan isu perkauman sebagai modal politik bagi mendapatkan sokongan.
“Hanya segelintir yang terlalu keterlaluan merasakan isu ini boleh ditunggang.
“Mereka menjadikan isu ini sebagai satu tunggangan yang kononnya boleh mengangkat sokongan orang Melayu kepada parti tertentu,” katanya.
Aminuddin turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan isu sensitif sebagai bahan kempen sebaliknya mengetengahkan perancangan dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Jangan gunakan isu perkauman ini hanya sebagai satu tempat untuk mereka berlakon drama.
“Rakyat mahu tahu apa yang kita boleh buat untuk mereka, bukan perkara yang hanya memecahbelahkan masyarakat,” katanya.



