Berita

Dr Azizul Hakim Tawar Agenda Kesihatan, Belia dan Ekonomi Tempatan Untuk Rantau

RANTAU:  Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi bertekad membawa pembaharuan yang lebih menyeluruh di kawasan itu menerusi pendekatan berteraskan kesihatan, pembangunan belia dan pemerkasaan ekonomi tempatan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Beliau berkata, hasil pertemuan dengan penduduk sepanjang tempoh berkempen mendapati masyarakat mahukan perubahan serta lebih banyak peluang pembangunan yang mampu meningkatkan taraf hidup, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Menurutnya, sepanjang berkempen, beliau dan pasukannya berjaya melaksanakan pelbagai program yang telah disusun dengan teratur, sekali gus membolehkannya mendekati penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar. Jadual yang disusun oleh pasukan dapat dipenuhi bermula dari waktu subuh sehingga malam.

“Penerimaan penduduk juga baik walaupun saya merupakan muka baharu di Rantau. Setakat ini saya melihat mereka menerima kehadiran kami dengan positif,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dr Azizul Hakim berkata, selain isu-isu asas seperti longkang tersumbat, lampu jalan yang tidak mencukupi dan masalah lembu berkeliaran, ramai penduduk turut menyuarakan keinginan untuk melihat pembangunan baharu yang mampu mengubah landskap Pekan Rantau.

Selain itu, ada penduduk yang berpandangan kawasan itu tidak banyak berubah sejak puluhan tahun lalu dan memerlukan lebih banyak inisiatif pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.

“Ramai penduduk yang saya temui berpendapat Pekan Rantau masih berada dalam keadaan yang sama seperti 20 atau 30 tahun lalu. Mereka mengharapkan pembaharuan dan peluang baharu untuk memajukan kawasan ini.

“Kita tidak bercakap tentang pembangunan berskala besar, tetapi sekurang-kurangnya perlu ada usaha yang mampu mewujudkan peluang ekonomi dan membantu meningkatkan taraf hidup penduduk,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah hab industri kecil di Rantau bagi membantu golongan belia yang mempunyai kemahiran dalam bidang automotif, industri makanan dan sektor teknikal untuk memulakan perniagaan sendiri.

Menurutnya, ramai anak muda memiliki kemahiran dan pengalaman bekerja dalam sektor swasta, namun berdepan kekangan dari segi modal serta kekurangan ruang yang sesuai untuk memulakan perusahaan.

“Ramai anak muda mempunyai kemahiran, tetapi mereka menghadapi cabaran untuk memulakan perniagaan kerana kekangan kewangan dan ketiadaan tempat yang sesuai.

“Jika diberi peluang, saya mahu melihat sebuah hab industri kecil diwujudkan di Rantau bagi membantu mereka menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Azizul Hakim berkata pendekatan mendekati pengundi muda, khususnya Generasi Z, memerlukan strategi yang berbeza dan lebih dekat dengan minat serta gaya hidup mereka.

Katanya, pelbagai program melibatkan golongan muda seperti e-sukan, futsal dan aktiviti sukan komuniti akan diperbanyakkan selain memanfaatkan media sosial sebagai medium utama untuk menyampaikan maklumat serta dasar yang dibawa PH.

“Anak muda mempunyai cara dan minat yang berbeza. Kita akan dekati mereka melalui program yang bersesuaian seperti e-sukan dan aktiviti sukan.

“Selain itu, media sosial akan digunakan untuk menerangkan pencapaian kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun serta perancangan yang akan dilaksanakan untuk Rantau sekiranya PH diberi mandat,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button