Berita

PH Komited Pertahan Status Port Dickson Sebagai Bandar Bahagia

PH Komited Pertahan Status Port Dickson Sebagai Bandar Bahagia

PORT DICKSON: Kesinambungan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan (PH) penting bagi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Port Dickson dapat diteruskan, sekali gus mengekalkan pengiktirafan kawasan itu sebagai antara bandar paling bahagia di Malaysia.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Dato’ Dr G Rajasekaran berkata, pelbagai dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini telah memberi impak positif kepada kehidupan rakyat termasuk dalam aspek kebajikan, penyelesaian isu setempat serta pembangunan infrastruktur.

Menurutnya, kejayaan Port Dickson diiktiraf sebagai antara bandar paling bahagia adalah hasil usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan keperluan rakyat diberi perhatian.

Beliau berkata, antara pencapaian yang berjaya dilaksanakan termasuk menyelesaikan isu banjir yang sering berlaku di Kampung Paya menerusi penaiktarafan kolam takungan air.

“Sebagai contoh, isu banjir yang kerap berlaku di Kampung Paya setiap kali hujan lebat telah berjaya kita atasi selepas kolam takungan air dinaik taraf.

“Selain itu, kita dapat melihat Port Dickson khususnya pada hujung minggu menjadi tumpuan pelancong, yang memberi kesan positif kepada ekonomi penduduk tempatan sama ada secara mikro mahupun makro,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjalankan kempen di sekitar pekan Port Dickson semalam yang turut diiringi Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sebelum ini, Port Dickson dilaporkan tersenarai antara 20 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun 2025 menerusi Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia yang dijalankan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Kajian tersebut menilai pelbagai komponen termasuk aspek alam sekitar, kepimpinan tempatan, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), infrastruktur asas, keseronokan bekerja, hubungan kejiranan serta tahap tekanan masyarakat.

Dalam pada itu, Rajasekaran berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap isu kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di kawasan bandar Port Dickson terutama ketika musim cuti dan hujung minggu.

Beliau berkata, beberapa perancangan penyuraian trafik telah dikenal pasti termasuk cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Kuala Lukut, Chuah hingga ke Bagan Pinang yang telah mendapat kelulusan sebelum ini.

“Jambatan ini dirancang dibangunkan dengan sistem pengurusan trafik berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus membantu mengurangkan masalah kesesakan di Port Dickson pada masa akan datang.

“Pelbagai projek pembangunan yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat Port Dickson telah dirancang dan menunggu untuk dilaksanakan secara berperingkat,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan sebahagian agenda tersebut terjejas susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum tempoh lima tahun berakhir.

“Banyak perancangan yang telah disusun untuk rakyat, namun ia perlu diteruskan dengan kestabilan pentadbiran negeri.

“Kita berharap rakyat Negeri Sembilan memberikan mandat yang tepat pada 1 Ogos nanti supaya kerajaan PH yang kukuh dapat dibentuk dan segala agenda pembangunan serta kebajikan rakyat dapat diteruskan,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button