Berita

Jangan Kaitkan Istana Dengan Parti Politik – Istana Negeri Sembilan

SEREMBAN: Istana Negeri Sembilan menafikan sebarang penglibatan dengan mana-mana parti politik serta menasihatkan semua pihak supaya tidak mengaitkan institusi diraja dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Istana Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan hari ini bahawa Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terlibat dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.

“Institusi Raja merupakan payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.

“Sehubungan itu, Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik,” katanya.

Istana Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atau mana-mana Ahli Kerabat Diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar.

“Semua calon yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan ke-16 dinasihatkan supaya mengelakkan daripada memainkan isu berkaitan 3R (Race, Religion and Royalty) serta berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang.

“Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan Institusi Diraja terus dihormati dan dipelihara daripada sebarang salah tafsir atau eksploitasi bagi kepentingan mana-mana pihak,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan serta merujuk kepada saluran rasmi Istana Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat yang sahih.

Show More

Related Articles

Back to top button