Ahmad Shahir Seru Pengundi Awal Tentera, Polis Tunaikan Tanggungjawab Esok

Ahmad Shahir Seru Pengundi Awal Tentera, Polis Tunaikan Tanggungjawab Esok
SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Ahmad Shahir Mohd Shah menyeru pengundi awal dalam kalangan anggota tentera dan polis di kawasan itu agar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 esok.
Beliau berkata, golongan anggota keselamatan juga merupakan sebahagian daripada masyarakat di DUN Paroi yang perlu diberikan perhatian dan perkhidmatan sekiranya diberi mandat untuk mewakili kawasan berkenaan.
“Walaupun anggota tentera dan polis mempunyai kekangan tugas, mereka tetap mempunyai keluarga yang menetap di Paroi yang turut memerlukan perhatian dari segi kebajikan dan kemudahan.
“Untuk para pengundi awal di kem tentera dan juga polis dalam DUN Paroi, saya menyeru dan merayu agar memberikan sokongan kepada calon nombor satu DUN 25 Paroi.
“Insya-Allah, kita mengharapkan pengundian daripada polis dan tentera kerana mereka juga sebahagian daripada rakyat dalam DUN Paroi yang perlu saya berkhidmat kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, sekiranya diberi kepercayaan, pihaknya akan memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat termasuk keluarga anggota keselamatan terus diberi perhatian melalui perkhidmatan di pejabat DUN.
“Mereka mungkin mempunyai limitasi tugas, tetapi mereka ada keluarga di sini, ada anak-anak di sini. Perkara itu juga yang akan kita cuba bantu dan insya-Allah kita akan pastikan khidmat kepada mereka diberikan.
“Selamat mengundi esok 28 Julai. Jangan lupa tunaikan tanggungjawab dan pilih calon nombor satu DUN 25 Paroi, Ustaz Shahir,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan pengundi awal supaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing pada 28 Julai dengan keluar mengundi mengikut masa yang ditetapkan.
Bagi PRN Negeri Sembilan ke-16, seramai 22,339 anggota keselamatan bersama pasangan akan mengundi awal, melibatkan 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.
Proses pengundian awal itu membabitkan anggota tentera, polis dan pasangan yang akan berlangsung di pusat-pusat mengundi awal di seluruh negeri sebelum hari pengundian utama pada 1 Ogos.



