PRN NS16: Pengalaman Taufek Dua Penggal Di Paroi Diyakini Bantu Ahmad Shahir Dekati Pengundi

SEREMBAN: Pengalaman dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi menjadi kelebihan kepada Dato’ Mohamad Taufek Abd Ghani untuk membantu calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Shahir Mohd Shah, memahami keperluan serta mendekati pengundi di kawasan berkenaan.
Mohamad Taufek berkata, sepanjang tempoh berkhidmat sebagai wakil rakyat Paroi, beliau telah mengenali sebahagian besar masyarakat setempat selain menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan penduduk.
“Pengalaman tersebut akan dimanfaatkan bagi membantu Ahmad Shahir meneruskan usaha mendekati rakyat serta memahami cabaran yang dihadapi penduduk di DUN Paroi.
“Alhamdulillah, sepanjang dua penggal saya menjadi ADUN, saya telah banyak menyelesaikan beberapa isu di DUN Paroi, terutamanya isu banjir di Kampung Paroi, Taman Seri Pagi dan beberapa kawasan lain.
“Sebelum ini apabila hujan lebat, terdapat kawasan yang mengalami masalah air melimpah daripada saliran longkang, tetapi hari ini saya boleh katakan isu banjir di DUN Paroi hampir sifar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengikuti calon PH DUN Paroi, Ahmad Shahir Mohd Shah dalam program ziarah rumah hari ini.
Menurutnya, selain penyelesaian isu infrastruktur, penyediaan kemudahan awam untuk penduduk turut menjadi antara fokus sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Pelbagai kemudahan seperti taman permainan, gelanggang futsal dan gelanggang sepak takraw telah berjaya disediakan di beberapa kawasan perumahan bagi manfaat masyarakat setempat.
“Saya yakin Ahmad Shahir mampu meneruskan usaha tersebut dengan memberi perhatian terhadap keperluan semasa, khususnya melibatkan golongan muda termasuk peminat bidang e-sukan.
“Kita akan pastikan setiap balai raya dan dewan komuniti dilengkapi kemudahan WiFi, termasuk masjid-masjid dalam DUN Paroi supaya boleh dimanfaatkan oleh anak-anak muda,” tambahnya.
Penyediaan kemudahan digital di lokasi komuniti termasuk masjid bukan sahaja memberi ruang kepada belia menjalankan aktiviti diminati, malah membolehkan mereka berada dalam persekitaran yang lebih positif.
Hal ini kerana, kemudahan berkenaan juga dapat membantu membimbing golongan muda agar terus mendekati institusi masjid dan menjalankan aktiviti yang lebih bermanfaat.
Dalam pada itu, Mohamad Taufek menyeru pengundi DUN Paroi agar memberikan sokongan kepada Ahmad Shahir pada PRN Negeri Sembilan ke-16 demi memastikan kesinambungan pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan itu.
“Saya menyeru seluruh rakyat DUN Paroi yang masih mengingati saya serta jasa sepanjang dua penggal menjadi ADUN supaya menyokong calon nombor satu, Ustaz Ahmad Shahir Mohd Shah daripada Pakatan Harapan,” ujarnya.



