Berita

PRN NS16: Ahmad Shahir Fokus Pendidikan, TVET dan Penyelesaian Isu Setempat di Paroi

SEREMBAN: Pendidikan, pembangunan modal insan dan penyelesaian isu setempat menjadi antara keutamaan yang akan dibawa calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Ahmad Shahir Mohd Shah, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh berkempen, pihaknya telah mengadakan lawatan ke hampir semua Pusat Daerah Mengundi (PDM), taman perumahan serta lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan di Paroi bagi bertemu secara langsung dengan pengundi.

“Maklum balas yang diterima setakat ini amat menggalakkan, dengan kebanyakan pengundi meletakkan harapan agar wakil rakyat yang dipilih kali ini mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, respon yang kita terima sangat positif. Pengundi di Paroi matang dan mereka mengharapkan sesuatu yang lebih baik. Mereka mahu wakil rakyat selepas ini lebih baik daripada wakil rakyat sebelum ini,” katanya.

Ahmad Shahir berkata, antara fokus utama yang ingin diketengahkan ialah memperluaskan peluang pendidikan, khususnya kepada golongan muda yang merupakan majoriti pengundi di Paroi.

“Kedudukan Paroi yang strategik berhampiran Kuala Lumpur dan Nilai seharusnya membuka lebih banyak peluang kepada anak muda untuk melanjutkan pengajian tanpa berasa terhad oleh faktor lokasi.

“Selain institusi pengajian tinggi awam, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) juga perlu diberi penekanan kerana ia selari dengan keperluan tenaga kerja mahir di Negeri Sembilan.

“Setiap tahun, sekolah-sekolah di sini melahirkan ratusan lepasan SPM yang mempunyai potensi besar untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang. Saya mahu menggalakkan lebih ramai belia memilih laluan TVET kerana negeri ini memerlukan tenaga kerja mahir,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang kempen turut menerima pelbagai aduan dan cadangan daripada penduduk menerusi media sosial serta mesej peribadi yang menyentuh isu di kawasan masing-masing.

“Setiap taman mempunyai cabaran berbeza, namun kebanyakan penduduk bukan menuntut penyelesaian segera, sebaliknya mengharapkan seorang wakil rakyat yang sentiasa memberi perhatian dan konsisten memperjuangkan kepentingan mereka.

“Isu yang banyak dibangkitkan melibatkan infrastruktur dan kebajikan, termasuk bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MAINS dan Baitulmal yang ada antaranya tidak diperoleh kerana masalah syarat atau dokumentasi,” katanya.

Mengulas strategi kempen, Ahmad Shahir berkata, beliau memberi tumpuan kepada penggunaan media sosial bagi mendekati golongan muda memandangkan corak kehidupan mereka berbeza dan lebih aktif berinteraksi di platform digital.

Pihaknya juga akan teruskan kempen secara bersemuka, tetapi pada masa sama banyak berinteraksi melalui media sosial kerana anak muda lebih mudah dicapai di platform itu. Kebanyakan maklum balas yang saya terima juga datang daripada mereka melalui media sosial.

Show More

Related Articles

Back to top button