22,339 Pengundi Awal Tunaikan Tanggungjawab PRN Negeri Sembilan Esok, Aminuddin Minta Buat Pilihan Yang Tepat

Linggi: Seramai 22,339 anggota keselamatan dan pasangan akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 esok di 38 pusat mengundi awal di seluruh negeri.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, beliau berharap pengundi awal keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dan membuat pilihan yang terbaik pada pengundian esok.
“Saya mohon kepada semua pengundi awal supaya memberi sokongan kepada Pakatan Harapan.
“Saya juga berharap mereka dapat keluar mengundi, pastikan semua turun mengundi di kem-kem dan balai polis yang telah disediakan, dan jangan lupa mengundi Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni penduduk di sekitar Taman Green View disini.
Aminuddin yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, beliau telah bertemu sebahagian besar daripada kira-kira 20,000 pengundi di kawasan itu sepanjang tempoh berkempen.
“Kalau nak jumpa semua pengundi mungkin tidak dapat, tetapi sebahagian besar mereka sudah saya jumpa. Insya-Allah saya yakin akan ada perubahan,” katanya.
Sementara itu, strategi kempen turut disesuaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan maklumat dan manifesto PH dapat disampaikan kepada seramai mungkin pengundi menjelang hari pengundian pada 1 Ogos ini.
“Kita dari semasa ke semasa akan mengubah strategi berkempen kerana pendekatan untuk bertemu semua pengundi agak terhad.
“Namun kita akan pastikan maklumat dan manifesto kita sampai kepada masyarakat di kawasan ini,” katanya.
Dalam pada itu, pengundian awal membabitkan 22,339 anggota keselamatan dan pasangan, terdiri daripada 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.
Proses pengundian akan bermula pada pukul 8 pagi dengan waktu penutupan ditetapkan secara berperingkat mengikut lokasi pusat mengundi.



