PRN NS16: Tengku Zafrul Tolak Dakwaan Sabotaj Calon PKR, Yakin Jentera PH Bersatu

PORT DICKSON: Dakwaan kononnya berlaku elemen sabotaj terhadap calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan adalah tidak benar.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berdasarkan pemerhatian sepanjang turun padang membantu kempen jentera PKR di beberapa kawasan termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Sungai Lui, Seri Menanti, Gemas serta Sri Tanjung, tidak menunjukkan wujudnya perpecahan dalam kalangan jentera parti.
“Dakwaan mengenai sabotaj atau boikot terhadap calon tertentu hanya sekadar khabar angin dan tidak pernah dibangkitkan dalam pertemuan bersama kepimpinan cabang PKR di seluruh Negeri Sembilan.
“Biasalah kadang-kadang kita dengar cakap-cakap seperti ini, tetapi dalam perjumpaan saya bersama Ketua-ketua Cabang PKR di seluruh Negeri Sembilan, tidak ada dibangkitkan mengenai kerisauan calon-calon tertentu diboikot ahli atau penyokong sendiri.
“Dalam menghadapi pilihan raya ini, semua jentera perlu bergerak bersama bagi memastikan kemenangan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Sri Tanjung yang juga penyandang kerusi berkenaan, Dr Rajasekaran Gunnasekaran ketika sesi kempen di sekitar pekan Sri Tanjung, di sini.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang masih memainkan sentimen perkauman dan kebencian sepanjang tempoh kempen PRN Negeri Sembilan.
“Berbeza dengan pendekatan PH yang memilih untuk mengetengahkan rekod pencapaian serta kejayaan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, terdapat pihak lain yang masih memainkan isu beremosi melibatkan sentimen 3R iaitu agama, kaum dan raja.
“Saya harap kempen-kempen yang terlalu beremosi dan menyentuh isu 3R tidak diteruskan lagi kerana ia tidak membawa apa-apa impak positif kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul yang juga Ex-Officio Biro Politik PKR yakin calon-calon PKR yang bertanding pada PRN kali ini mampu menyumbang kepada kemenangan PH untuk terus membentuk kerajaan negeri.
Menurutnya, walaupun persaingan pada ketika ini dilihat sengit, kerja keras serta kesungguhan jentera parti mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PH menjelang hari pengundian pada 1 Ogos.
Beliau berkata, calon PH di DUN Sri Tanjung, Dr Rajasekaran mempunyai kelebihan sebagai penyandang yang telah dikenali penduduk tempatan hasil khidmat dan sumbangan sepanjang hampir tiga tahun menerajui kawasan berkenaan.
“Ini akan menjadi penilaian kepada pengundi untuk terus memberi sokongan kepada calon-calon PKR dan PH,” ujarnya.



