Anwar, Putin bincang kerjasama strategik Malaysia-Rusia dalam tenaga, AI dan perdagangan dua hala

MOSCOW: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala, termasuk potensi memperkukuh hubungan dalam sektor tenaga yang menjadi antara bidang strategik bagi Malaysia dan Persekutuan Rusia.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau telah menyampaikan salam daripada Yang di-Pertuan Agong serta menzahirkan penghargaan atas layanan mesra dan penghormatan yang sentiasa diberikan Rusia kepada Malaysia.
“Saya menyentuh usaha memperluas kerjasama ekonomi termasuk menghargai ketetapan Persekutuan Rusia memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor berteknologi tinggi termasuk teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal.
“Kami juga bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal.
“Perbincangan turut merangkumi usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa serta meneroka mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan, iaitu Ringgit dan Ruble,” ujar Anwar.
Dalam pertemuan itu, beliau turut memuji pendirian Putin yang disifatkan konsisten dan berprinsip dalam menyuarakan pandangan berhubung isu Gaza dan Iran.
“Pada kesempatan sama, saya memuji pendirian Presiden Putin yang konsisten dan berprinsip dalam menyuarakan pandangan berhubung isu Gaza dan Iran,” katanya.
Anwar menegaskan Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara menerusi kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan serta daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara, termasuk melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat,” katanya.




