
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk pembangunan bola sepak.
“Umum mengetahui bahawa sukan bola sepak amat dekat di hati rakyat Malaysia termasuk diri saya sendiri yang sentiasa menerima perkembangan langsung terkait situasi melibatkan pasukan Harimau Malaya.
“Pelbagai usaha berterusan dilakukan Kerajaan MADANI bersama beberapa pihak lain dalam memastikan skuad Harimau Malaya diperkukuh sekali gus muncul sebagai gergasi bola sepak asia.
“Bagi merealisasikan usaha ini, Kerajaan MADANI akan meningkatkan peruntukan RM15 juta yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2025 khusus untuk pembangunan sukan bola sepak kepada RM30 juta, yang mana RM15 juta lagi akan dibiayai oleh pihak swasta,” kata Anwar.
Anwar berkata, peruntukan ini akan diguna bagi meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.
Dana ini juga akan dimanfaatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total dari setiap sudut bagi memastikan para pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik.
Usaha juga akan ditumpukan kepada mewujudkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya, dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad bawah-23 negara dan ini secara tidak langsung membolehkan pasukan utama sentiasa dilengkapi dengan para pemain yang berpengalaman.
“Selain daripada ikhtiar yang dilakukan oleh Kerajaan MADANI dan FAM, saya juga berharap Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan terus memberikan dukungan berterusan berdasarkan pencapaian, pengalaman serta rangkaian luas Baginda dalam industri bola sepak.
“Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya.
“Saya berharap agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan Harimau Malaya termasuk pasukan pengurusan dalam mengangkat nama Malaysia ke peringat tertinggi dan setanding nama besar bola sepak antarabangsa,” kata Anwar.