BAKAT MADANI Tingkatkan Pembangunan Modal Insan Melalui Kerjasama GLIC, GLC Dan Korporat

SENDAYAN: Kerajaan melancarkan inisiatif BAKAT MADANI sebagai usaha mempertingkatkan pembangunan modal insan negara melalui kerjasama strategik antara institusi pelaburan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat utama.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pelaksanaan inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama dalam menjadikan pembangunan bakat sebagai agenda nasional yang menjadi asas kekuatan negara.
“Walaupun ekonomi negara berada pada landasan kukuh dengan peningkatan pelaburan, keyakinan pelabur yang bertambah baik serta kadar pengangguran sekitar tiga peratus, persoalan utama ialah sama ada rakyat mempunyai kemahiran untuk mengisi peluang yang diwujudkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran BAKAT MADANI di D’Tempat Country Club, Sendayan, Negeri Sembilan.
Menurut Amir Hamzah, pembangunan bakat kini perlu dilihat sebagai infrastruktur ekonomi penting setanding dengan pembangunan fizikal seperti lapangan terbang dan grid tenaga.
Sementara itu, enam GLIC utama negara, rangkaian GLC serta PETRONAS memainkan peranan besar dalam menjayakan inisiatif tersebut dengan GLIC menguruskan aset melebihi RM2 trilion.
“Pada akhir 2025, PETRONAS dan GLC telah menyediakan 236,000 peluang pekerjaan serta menyokong 44,000 syarikat vendor di seluruh negara,” katanya.
Amir Hamzah berkata institusi berkenaan bukan sekadar menjana pulangan kewangan sebaliknya mengurus amanah rakyat termasuk lebih 11 juta pemegang unit ASB di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan lebih 18 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam pada itu, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan bakat teknikal dan vokasional (TVET) selaras dengan keperluan sektor ekonomi baharu seperti peralihan tenaga, automotif, digital dan semikonduktor.
“Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk program K-Youth yang membuka peluang kepada belia dalam industri semikonduktor bersama syarikat seperti Onsemi di Seremban dan ViTrox di Pulau Pinang.
“Selain itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) turut melatih tenaga kerja sebagai chargeman dan pemasang solar manakala PETRONAS melalui Program VISTA sejak 1992 memperkukuh latihan teknikal termasuk kimpalan 6G dan pendawaian elektrik,” katanya.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata kira-kira 8,000 anak muda menerima biasiswa bernilai sekitar RM250 juta setahun dengan lebih 90 peratus daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada generasi muda untuk membina kerjaya lebih terjamin dalam sektor strategik negara” katanya.
Jelasnya, BAKAT MADANI menghimpunkan pelbagai usaha sedia ada ke dalam satu platform nasional dengan tiga fokus utama iaitu penempatan kerjaya dalam ekosistem GLIC, GLC dan PETRONAS, peluasan ke sektor strategik serta pemerkasaan TVET.
“Malaysia tidak kekurangan bakat tetapi memerlukan jambatan yang menghubungkan bakat dengan peluang yang ada,” katanya.
Tambah Amir Hamzah, pelaburan terhadap pembangunan bakat merupakan pelaburan jangka panjang paling bernilai kerana memberi kesan langsung kepada rakyat dan ekonomi negara.



