Berita

BAKAT MADANI Sasar 25,000 Individu, Anwar Galak Rebut Peluang Pekerjaan Yang Disediakan Kerajaan

SENDAYAN: Seramai 25,000 individu disasarkan menerima manfaat menerusi Inisiatif BAKAT MADANI dalam tempoh setahun bermula pertengahan 2026 sebagai usaha memperkukuh pembangunan bakat negara melalui latihan kemahiran, peluang pekerjaan berkualiti serta peningkatan mobiliti sosial.

Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara PETRONAS, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bakat negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kejayaan program ini tidak hanya diukur pada pelaksanaannya sebaliknya pada keupayaan rakyat untuk mengisi peluang yang diwujudkan.

“Dalam usaha negara bergerak ke hadapan dalam bidang teknologi, digital dan ekonomi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), pembangunan bakat tidak boleh terpisah daripada asas masyarakat.

“Kalau kita terlalu ke hadapan, terlalu teknikal, terlalu mengejar AI dan digital, tetapi lupa asal-usul, lupa ibu bapa dan lupa masyarakat, itu tidak membawa makna kepada pembangunan yang sebenar,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran BAKAT MADANI di D’Tempat Country Club, Sendayan, Negeri Sembilan.

Menurut Anwar, pembangunan negara hanya bermakna apabila manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, latar belakang mahupun wilayah.

Dalam pada itu, Anwar berkata program ini bukan sekadar menyediakan latihan dan peluang pekerjaan sebaliknya membuka ruang kepada golongan muda daripada pelbagai latar belakang untuk meningkatkan taraf hidup.

“Kestabilan politik, perpaduan rakyat dan pertumbuhan ekonomi merupakan asas penting bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk generasi muda.

“Program ini turut menyediakan laluan peluang kedua kepada kumpulan sasar termasuk isi rumah B40, asnaf, individu rentan serta veteran Angkatan Tentera Malaysia yang sedang melalui fasa peralihan kerjaya,” katanya.

Anwar turut menekankan bahawa tumpuan diberikan kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan termaju melalui kerjasama erat industri serta institusi TVET di seluruh negara.

Majlis pelancaran BAKAT MADANI yang dihadiri lebih 700 peserta itu turut menghimpunkan barisan menteri, ketua setiausaha kementerian, kepimpinan GLIC, GLC dan PETRONAS selain penerima manfaat program pembangunan bakat dari seluruh negara.

BAKAT MADANI turut disifatkan sebagai jambatan yang menghubungkan bakat rakyat dengan peluang ekonomi masa depan sekali gus memastikan graduan, belia TVET dan golongan rentan mendapat akses kepada latihan, pensijilan serta pekerjaan berkualiti dalam sektor bernilai tinggi.

Show More

Related Articles

Back to top button