BeritaYB KitaProgram

MBS laksana tiga langkah atasi kesesakan trafik semasa ‘Moh Nonggok Kek Somban’

SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan melaksanakan tiga langkah penambahbaikan trafik bermula minggu hadapan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa penganjuran program ‘Moh Nonggok Kek Somban’ di pusat bandar.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, keputusan itu dibuat hasil lawatan tapak bersama Datuk Bandar MBS, Dato’ Ir. Ts. Masri Baharuddin, Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Louis dan Vincent serta pegawai-pegawai MBS.

Menurutnya, lawatan susulan itu diadakan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai dan peniaga yang terjejas akibat kesesakan trafik di sekitar kawasan Lobak dan pusat bandar ketika program berkenaan berlangsung.

“Hasil perbincangan, MBS akan melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan bermula minggu hadapan bagi melancarkan aliran trafik semasa program berlangsung,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, antara langkah yang dipersetujui ialah menutup sementara laluan masuk dan keluar di hadapan Courts Mammoth bagi membolehkan kenderaan di laluan utama bergerak lebih lancar tanpa gangguan daripada kenderaan yang keluar masuk simpang tersebut.

Selain itu, anggota pengawal trafik (warden) akan ditempatkan di kawasan KM Plaza bagi membantu mengawal pergerakan kenderaan dan mengurangkan kesesakan.

Nicole berkata, MBS juga bersetuju menangguhkan penutupan Jalan Dato’ Bandar Tunggal kepada jam 8.00 malam berbanding jam 7.30 malam sebelum ini.

“Saya sentiasa menyokong usaha menghidupkan semula pusat bandar melalui pelbagai program dan acara yang mampu merancakkan ekonomi tempatan.

“Pada masa yang sama, keselesaan penduduk, kelancaran trafik serta kepentingan para peniaga juga perlu diberikan perhatian.

“Saya berharap langkah-langkah yang dipersetujui ini dapat membantu mengurangkan kesesakan dan memastikan penganjuran program pada masa akan datang berjalan dengan lebih lancar,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar MBS, ahli-ahli majlis serta pegawai MBS atas komitmen mereka dalam mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan semua pihak.

Show More

Related Articles

Back to top button