YB Kita

Naik taraf Kolam Takungan Desa Jasmin kurangkan risiko banjir Pekan Nilai

NILAI: Kerja-kerja menaik taraf Kolam Takungan Desa Jasmin, Bandar Baru Nilai kini telah bermula selepas Surat Setuju Terima (SST) diserahkan kepada kontraktor yang dilantik pada 15 Jun 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J.Arul Kumar berkata, projek ini melibatkan kos sebanyak RM3.9 juta.

Pelaksanaan projek ini merupakan hasil inisiatif yang telah diusahakan sejak lebih satu setengah tahun lalu apabila Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM3.9 juta melalui Dana Caruman Saliran untuk tujuan tersebut.

“Projek ini dicadangkan berikutan masalah banjir yang sering berlaku di Pekan Nilai setiap kali hujan lebat.

“Bagi menangani isu tersebut, antara langkah penting yang dikenal pasti ialah menaik taraf Kolam Takungan Desa Jasmin yang memainkan peranan penting dalam sistem saliran kawasan Bandar Baru Nilai.

“Melalui projek ini, kolam takungan tersebut akan didalamkan lagi, sekali gus meningkatkan kapasiti takungannya.

“Selain itu, struktur outlet yang mengawal pelepasan air juga akan digantikan dengan sistem baharu yang lebih efisien bagi membolehkan air dilepaskan secara terkawal dan berperingkat ke sungai,” jelas Arul Kumar.

Menurut Arul Kumar yang juga Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, projek ini turut merangkumi pembinaan trek mengelilingi kolam yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk setempat untuk aktiviti riadah seperti berjalan kaki, berjoging dan bersenam apabila projek siap kelak.

“Dengan peningkatan kapasiti kolam dan penambahbaikan sistem pelepasan air, lebih banyak air hujan dari kawasan Bandar Baru Nilai dapat ditakung sementara di kolam ini sebelum dilepaskan secara perlahan-lahan ke Sungai Sekah yang mengalir ke Pekan Nilai.

“Langkah ini dijangka dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan pekan tersebut dengan lebih berkesan.

“Kolam takungan ini telah dibina sejak lebih 30 tahun lalu.

“Namun, kapasiti asalnya tidak lagi mencukupi untuk menampung jumlah aliran air semasa berikutan pembangunan pesat di Bandar Baru Nilai serta perubahan corak cuaca yang menyebabkan hujan lebat berlaku dengan lebih kerap dan dalam tempoh yang singkat,” kata Arul Kumar.

Arul Kumar berkata, projek menaik taraf ini akan memastikan kemudahan sedia ada dapat memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.

Ia juga melengkapkan usaha-usaha lain yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah banjir di Pekan Nilai.

“Sebelum ini, kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di Pekan Nilai telah berjaya diselesaikan.

“Selain itu, satu lagi projek penting iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batang Labu kini berada di peringkat akhir pemuktamadan reka bentuk.

“Kerja-kerja fizikal projek tersebut dijangka bermula pada penghujung tahun ini selepas peruntukan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Dengan pelaksanaan dan penyempurnaan ketiga-tiga projek ini, iaitu menaik taraf Kolam Takungan Desa Jasmin, menaik taraf sistem perparitan Pekan Nilai dan pelaksanaan RTB Sungai Batang Labu, risiko banjir di Pekan Nilai dijangka dapat dikurangkan secara menyeluruh dan berkesan demi kesejahteraan rakyat,” ujar Arul Kumar lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button