BeritaMenarik

Bantuan STR dan SARA dinaikkan kepada RM13 bilion

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penambahan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (atau STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk tahun 2025.

Anwar berkata, peruntukan bagi STR dan SARA bagi tahun 2024 ditambah RM10 bilion yang merupakan jumlah yang terbesar dalam sejarah.

“Insya-Allah, tahun ini (2025), Kerajaan berhasrat untuk menambah peruntukan STR dan SARA sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya.

“Keadaan ekonomi semasa kita harus ditangani dengan bijak kerana ia juga melibatkan apa yang belum diduga, iaitu musibah banjir yang berlaku mutakhir ini.

“Maka Kerajaan MADANI telah memberi jaminan bahawa segala usaha akan terus dijalankan di semua negeri bagi memastikan bantuan sampai dengan segera dan kerja pemulihan dan bantuan secepat mungkin akan diselenggara oleh semua agensi Kerajaan Pusat, Persekutuan dengan kerjasama jentera Negeri dan Kerajaan Tempatan,” kata Anwar dalam Amanat Tahun Baharu 2025.

Dalam pada itu, Anwar berkata, sepanjang 2024, pelbagai inisiatif reformasi dalam pentadbiran Kerajaan telah dimulakan, termasuk pembentukan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) serta reformasi dalam agenda membanteras rasuah, institusi dan perundangan, Parlimen, perkhidmatan awam, dan reformasi fiskal.

“Iltizam Kerajaan MADANI adalah menggandakan usaha ini untuk tahun-tahun mendatang, antaranya dengan penekanan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem digital untuk meniup nafas baharu dalam perkhidmatan awam.

“Insya-Allah, kita akan bersama-sama membina Malaysia yang lebih maju, terangkum dan berintegriti, serta diangkat darjat dan martabat di mata dunia,” katanya.

Anwar menambah, kerangka Ekonomi MADANI diluncurkan pada 27 Julai 2023, ia memungkinkan hala tuju yang jelas untuk membentuk semula Malaysia sebagai peneraju ekonomi rantau Asia.

“Apa yang lebih mendesak dan mustahak adalah kerangka Ekonomi MADANI yang memberi petunjuk kepada kepemimpinan dan generasi penerus untuk mempasak sebuah sistem ekonomi yang berteraskan prinsip manusiawi dengan ihsan, dengan rahmah, agar keadilan dapat ditegakkan bagi setiap insan warga Malaysia.

“Atas ikhtiar tersebut, Kerajaan telah menggerakkan usaha untuk menjelmakan anjakan baharu bermula pada tahun 2024.

“Saya turut memahami bahawa tidak semua keputusan dan kebijakan Kerajaan itu popular atau lekas membuahkan hasil.

“Namun, semua ini dilaksanakan dengan tekad politik yang jelas, dengan niat ikhlas serta penilaian yang teliti untuk memastikan dasar-dasar tersebut ini memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

“Sebagai contoh; penyasaran subsidi diesel dan sebelumnya tentang tarif elektrik yang digerakkan oleh Kerajaan MADANI untuk menutup ketirisan sekian lama dek subsidi pukal yang telah disalurkan kepada pihak yang paling kaya, yang saya sebut sebagai mahakaya dan warga asing tiga setengah juta orang yang tidak layak menerima subsidi,” jelas beliau lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button