Berita

Barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan Yang Baharu Dijangka Angkat Sumpah Di Istana Seri Menanti Esok

SEREMBAN: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang baharu dijangka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada Jumaat ini.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu dijadual bermula pada pukul 9.45 pagi.

Menurut sumber, Barisan Nasional (BN) yang memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dijangka menguasai lapan daripada 10 portfolio Exco manakala baki dua portfolio dijangka diperuntukkan kepada Perikatan Nasional (PN) yang memenangi tujuh kerusi.

Bagaimanapun, sumber itu berkata komposisi berkenaan masih tertakluk kepada keputusan muktamad sehingga istiadat pelantikan berlangsung.

“Kedudukan Exco Kanan juga masih belum diputuskan dan hanya akan diketahui semasa istiadat pelantikan esok.

“Yang pasti, tiada penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dalam barisan Exco seperti yang didakwa sebelum ini dan tiada juga pelantikan jawatan Timbalan Exco,” katanya

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan senarai Exco akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk mendapat perkenan sebelum istiadat mengangkat sumpah diadakan.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, gabungan BN dan PN membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti mudah dengan memenangi 25 daripada 36 kerusi DUN.

Untuk rekod, pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini menyaksikan ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias memegang jawatan Exco Kanan serta Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.

Turut menganggotai barisan Exco ialah ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor yang menerajui portfolio Belia dan Sukan, ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli yang memegang portfolio Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital manakala Ismail ketika itu bertanggungjawab sebagai Exco Pendidikan dan Modal Insan.

Show More

Related Articles

Back to top button