SEREMBAN: Orang ramaidiingatkan supaya menjelaskan bayaran Cukai Tanah dan Cukai Petak bagi tahun ini sebelum tarikh akhir pada 31 Mei depan.
Menerusi hantaran Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, pemilik tanah dan petak yang gagal melunaskan bayaran dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara.
Manakala kegagalan menjelaskan cukai berkenaan bukan sahaja boleh menyebabkan denda dikenakan, malah turut berisiko berdepan tindakan sita atau rampasan tanah.
Katanya, pemilik yang tidak menerima bil fizikal di rumah masih boleh membuat semakan dan pembayaran secara dalam talian menerusi portal rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan (PTGNS) di e.ptgns.ns.gov.my.
Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat menggunakan kemudahan JomPAY dan perbankan internet seperti Maybank2u serta CIMB Clicks.
Dalam pada itu, orang ramai digalakkan menyegerakan pembayaran bagi mengelakkan kesesakan pada saat akhir selain membantu menyumbang kepada pembangunan Negeri Sembilan.