Bazar Ramadhan akan disita jika guna pekerja asing: ARUL

SEREMBAN: Peniaga Bazar Ramadhan yang didapati menggunakan warga asing sebagai pekerja akan disita serta-merta kata Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J. Arul Kumar.
“Pemegang lesen juga akan disenarai hitam dan tidak dibenar lagi memohon menjaja di mana-mana bazar Ramadhan.
“Pihak berkuasa juga tidak akan teragak-agak untuk melakukan sitaan serta-merta andai syarat tersebut tidak dipatuhi,” kata Arul Kumar.
Arul Kumar memberi kenyataan tersebut sebagai maklum balas terhadap beberapa penganjur tahun lepas yang membenarkan warga asing berniaga di bazar Ramadhan.
Arul Kumar turut tambah bahawa bazar Ramadhan adalah satu usaha bagi menjana pendapatan tambahan dan tidak harus dijadikan ‘untung atas angin’ dengan memberi sewaan kepada orang lain.
“Mereka yang memohon gerai di bazar Ramadhan sahaja dibenarkan berniaga di sana.
“Jangan pandai-pandai mohon dengan penganjur dan selepas itu jual tapak dengan harga yang lebih tinggi,” tambah Arul Kumar.