Berita

Belanjawan Negeri Sembilan Perkukuh Agenda Belia dan Sukan: MUSTAPHA

NILAI: Peruntukan RM3.7 juta bagi pengurusan dan pemerkasaan belia dan sukan RM5 juta untuk persediaan SUKMA 2026 serta RM1 juta bagi pemerkasaan infrastruktur sukan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Sembilan dalam menjadikan belia dan sukan sebagai teras strategik pembangunan.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Dato’ Haji Mustapha bin Nagoor berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi Belia dan Sukan Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung di Pentas Utama NS Fest, Dataran Nilai, malam tadi.

Beliau menegaskan pendirian kerajaan negeri untuk memastikan tiada atlet tercicir daripada pengiktirafan selain setiap kejayaan yang mengharumkan nama Negeri Sembilan diberi penghargaan sewajarnya.

Pada majlis sama, Kerajaan Negeri Sembilan turut meraikan Ikon Sukan Negeri Sembilan Kategori Awam iaitu individu dalam kalangan masyarakat yang aktif membudayakan sukan serta menjadi teladan dalam mempromosikan gaya hidup sihat tanpa mengira usia.

Sepanjang tahun 2025, Mustapha memaklumkan pelbagai inisiatif berskala besar telah digerakkan antaranya Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge 2.0 (NS7WC 2.0) yang menggabungkan elemen sukan, pelancongan dan pemerkasaan komuniti merentasi tujuh daerah.

Selain itu, program Family Fun Walk Negeri Sembilan, Family Neon Walk, Jang Junior Challenge serta Madani Youth Leadership Camp (MYLead) turut dilaksanakan bagi mempromosikan gaya hidup sihat, mencungkil bakat sukan di peringkat akar umbi serta melahirkan barisan pemimpin belia berwibawa.

Mustapha juga merakamkan penghargaan kepada para penaja dan rakan strategik termasuk Matrix Concepts selaku penaja utama NS7WC 2.0 selain LPNS, 100PLUS, Himalaya, Warrix, Roti Jempol, HWAM, NurKlasik, Jantzen, XCRIIM, Hotspot Printing, UiTM Seremban serta media rasmi Negeri FM atas sokongan berterusan terhadap agenda pembangunan belia dan sukan negeri.

Show More

Related Articles

Back to top button