BeritaNaratif Kito

Berbilang bangsa untuk bersatu, bukan mencurigai; berhati-hati bukan untuk memusuhi, tetapi memahami

Ahmad Shahir Mohd Shah

MALAYSIA dibina atas kepelbagaian. Sejak awal pembentukan negara, kita tidak pernah menjadi bangsa yang satu warna.

Kita berbeza bahasa, budaya, agama dan latar sejarah. Namun kita memilih untuk berkongsi tanah air yang sama.

Persoalannya hari ini — mengapa dalam keadaan negara semakin matang, naratif curiga masih lebih kuat daripada naratif percaya?

Warisan Pecah dan Perintah: Sampai Bila?

Tidak dapat dinafikan, dasar “pecah dan perintah” oleh British Empire telah meninggalkan kesan yang panjang.

Sistem ekonomi dipisahkan mengikut kaum. Penempatan dipisahkan. Pendidikan dipisahkan. Bahkan struktur sosial dibentuk agar setiap kaum hidup dalam ruang yang hamper tersendiri.

Peristiwa seperti 13 Mei 1969 menjadi luka sejarah yang sentiasa diingatkan sebagai bukti betapa rapuhnya perpaduan jika api perkauman ditiup tanpa tanggungjawab.

Namun soalnya — sampai bila kita mahu bersandar pada sejarah sebagai alasan? British sudah lama pergi. Generasi hari ini tidak pernah hidup di bawah penjajahan.

Jika masih wujud jurang dan kecurigaan, apakah semuanya semata-mata warisan lampau? Atau ada kegagalan kita sendiri dalam membina naratif baru yang lebih berani dan jujur?

Perpaduan: Retorik atau Realiti?

Setiap kali pilihan raya, slogan perpaduan bergema. Setiap kali krisis melanda, seruan keharmonian dilaungkan. Tetapi dalam kehidupan seharian — di media sosial, di ruang politik, di pentas ceramah — Bahasa yang digunakan kadangkala masih memisahkan.

Adakah mesej perpaduan benar-benar meresap hingga ke akar umbi? Atau ia sekadar tema bermusim? Perpaduan bukan sekadar duduk semeja ketika majlis rasmi. Ia menuntut kejujuran untuk mengakui prejudis yang masih wujud.

Ia menuntut keberanian untuk menegur ahli sendiri apabila ucapan menyentuh sensitiviti kaum lain.
Jika sentimen identiti terus dimainkan demi keuntungan jangka pendek, jangan hairan jika rakyat terus hidup dalam bayang-bayang curiga.

Sekolah: Medan Penyatuan yang Tertangguh?

Sekolah sepatutnya menjadi tapak paling subur untuk menyemai persefahaman. Namun realitinya, sistem pendidikan kita masih terpisah mengikut aliran.

Apakah ini kekayaan budaya — atau Jarak sosial yang tidak pernah benar-benar dirapatkan? Anak-anak kecil lahir tanpa prasangka. Mereka belajar mencurigai apabila orang dewasa mengajarkan rasa takut terhadap “yang lain”.

Jika sejak kecil interaksi silang budaya terhad, bagaimana mungkin apabila dewasa mereka mampu membina empati
yang tulen? Perpaduan tidak boleh hanya bergantung kepada slogan kementerian.

Ia perlu berlaku dalam bilik darjah, dalam aktiviti kokurikulum, dalam pergaulan harian yang ikhlas.

Siapa Perlu Berubah?

Jawapannya mudah tetapi berat: semua pihak.

Pemimpin politik perlu berhenti menjadikan identiti kaum sebagai perisai dan senjata. Media perlu bertanggungjawab dalam membingkai isu sensitif. Institusi Pendidikan perlu memperkukuh interaksi lintas budaya. Dan rakyat sendiri perlu keluar dari kelompok masing-masing.

Berhati-hati itu perlu — tetapi berhati-hati bukan untuk memusuhi. Ia untuk memahami batas, menghormati perbezaan dan mencari titik temu. Kita boleh mempertahankan hak tanpa mencurigai niat. Kita boleh berbeza pandangan tanpa menuduh kesetiaan.

Penutup: Ingat Pesan Orang Tuo-Tuo

Orang Melayu ada pepatah, “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.” Ertinya, kesepakatanlah yang membentuk kekuatan. Dalam adat Negeri Sembilan pula kita diajar, “Adat bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah.”

Maknanya, asas hidup ini ialah keseimbangan — antara prinsip dan kebersamaan. Dan dalam loghat kito orang Nogori sering berpesan: “Kalau nak kuat, jangan bercerai-berai. Kok hati dah berbelah, apo pun tak jadi.”

Kito ini berbilang bangsa, tapi tanah airnyo satu. Kito mungkin berbezo adat dan budayo, tapi masa depan kito tetap samo.

Jangan sampai dek kerana curiga yang tak sudah, yang rugi bukan satu kaum — tapi seluruh Malaysia.

Sebab itu, naratif kito mesti jelas: Berbilang bangsa untuk bersatu, bukan mencurigai. Berhati-hati bukan untuk
memusuhi, tapi untuk memahami. Situ duduknya. Situ fahamnya.

Ahmad Shahir Mohd Shah

Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button