Cha cadang SWCorp buat perancangan sistematik pembekalan tong sampah

RASAH: Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin mencadangkan SWCorp membuat perancangan sistematik berkaitan pembekalan tong sampah kepada masyarakat setempat.
“Pada sesi Sidang Parlimen akan datang, saya akan mengemukakan cadangan agar pihak SWCorp membuat perancangan sistematik untuk membekalkan tong sampah yang mencukupi di seluruh negara sepanjang masa, supaya proses penggantian tong sampah dapat berjalan lancar mengikut keperluan para penduduk,” kata Cha.
Cha berkata demikian di Majlis Perasmian Program Penggantian Tong Sampah yang rosak di Taman Rahang.
“Sebanyak 100 buah tong sampah baru telah disediakan untuk kemudahan para penduduk yang perlu menggantikan tong sampah yang telah rosak.
“Program ini adalah inisiatif daripada Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Puan Jamilah Ali Said untuk Zon Seremban Jaya.
“Ia bertujuan untuk membolehkan penduduk menukar tong sampah di depan rumah mereka yang telah rosak,” jelas Cha.
Menurut Cha lagi, pelaksanaan tong sampah seragam ini telah diperkenalkan sejak lebih 10 tahun lepas dan telah membantu dalam isu kebersihan dan kesihatan penduduk.
“Selepas lebih 10 tahun, sudah semestinya ada tong sampah yang telah rosak dan perlu digantikan dengan yang baru.
“Saya turut dimaklumkan bahawa program sebegini adakalanya tidak dapat dilaksanakan dengan alasan kekurangan stok tong sampah baru.
“Sebab itu saya mahu mencadangkan kepada SWCorp membuat perancangan sistematik dalam urusan pembekalan dan agihan tong sampah kepada pengguna pada masa hadapan,” ujar beliau lagi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P.Gunasekaren.