Cha menyeru lebih ramai peniaga kecil menjadi rakan kongsi SARA

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pilihan (JKP) Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian (PKKP), Cha Kee Chin menyeru agar lebih ramai peniaga kecil menjadi rakan kongsi SARA.
“Semasa sesi libat urus dengan Timbalan Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan baru-baru ini, saya meminta prosedur permohonan daripada para peniaga kecil untuk menjadi rakan kongsi SARA dipermudahkan, diperjelaskan dan dihebahkan dengan lebih jelas dan menyeluruh.”
“Inisiatif SARA bukan saja untuk membantu penerima yang layak, ia juga dapat membantu peniaga kecil yang memperbaiki perniagaan mereka.
“Selepas taklimat oleh MOF, adalah jelas cara permohonan tidak susah dan permohonan boleh dikemukakan oleh semua peniaga kecil yang berminat.
“Seruan YAB PMX untuk 10 ribu peniaga kecil menjadi rakan kongsi SARA menunjukkan komitmen tinggi daripada pimpinan utama negara. Ketika ini, hanya ada tiga ribu peniaga kecil yang menjadi rakan kongsi SARA,” jelas Cha.
Cha berharap lebih ramai peniaga kecil dan peruncit akan mengambil kesempatan berniaga dengan memohon menjadi rakan niaga SARA.



