BeritaMenarik

Dr.Craig Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan skuad bola sepak kebangsaan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mengumumkan Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, salah satu jawatan utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.

Terdahulu pada 16 Disember 2024, FAM telah mengumumkan Peter Cklamovski juga dari Australia sebagai ketua jurulatih kebangsaan dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan.

Sementara pada 31 Disember 2024, FAM mengumumkan pula Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan.

Dr. Craig merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009 hingga kini yang mana beliau turut pernah menjadi Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) selama empat tahun dari 2014 hingga 2018.

Selain itu, Dr.Craig turut merupakan Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di Australian Catholic University (ACU) sejak 2013 hingga kini yang mana beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman dari University of Sydney dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dari Deakin University.

Beliau juga merupakan Penasihat di Elite Performance Partners sejak dari 2021 hingga kini.

Berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran beliau dalam bidang prestasi manusia, tugas Dr.Craig di FAM sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan adalah bertanggungjawab dalam mengetuai hal-hal berkaitan prestasi tinggi; kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan; pemakanan dan psikologi sukan serta pembangunan kakitangan.

Sebagai salah seorang saintis sukan terkemuka Australia, pendekatan Dr.Craig yang inovatif dan holistik terhadap pengurusan pemain telah membolehkan pasukan berprestasi tinggi memaksimumkan prestasi dan menurunkan kadar kecederaan dalam atlet profesional mereka.

Dr.Craig bekerja dengan Sydney FC apabila mereka memenangi kejuaraan Liga-A, dengan Western Sydney Wanderers apabila mereka menjadi pasukan Australia pertama memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2014, dengan pasukan NSW untuk menamatkan kemarau kejuaraan pada siri State of Origin pada 2014 dan 2018, serta dengan Socceroos apabila mereka muncul juara Piala Asia pada 2015.

Selain itu, Dr.Craig turut menyelia program prestasi tinggi pasukan kebangsaan Iran apabila mereka mara ke separuh akhir Piala Asia 2019.

Di FAM, Dr.Craig telah meletakkan visi bagi mewujudkan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia untuk sains sukan dan perubatan sukan; membolehkan pasukan senior, junior dan wanita kebangsaan mencapai kejayaan yang berterusan sambil memupuk budaya prestasi tinggi di semua peringkat bola sepak di Malaysia.

Bagi misi pula, Dr. Craig mahu mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju merentas semua pasukan kebangsaan dan liga bola sepak Malaysia; meningkatkan prestasi pemain, pemulihan dan daya tahan melalui protokol piawai, program pendidikan dan teknologi termaju.

Dengan semua perancangan ini diharap ianya mampu untuk menyediakan pasukan kebangsaan kita dengan tahap kesediaan fizikal dan taktikal yang terbaik, selain aspek berkaitan prestasi tinggi menjadi keutamaan dalam bola sepak Malaysia.

Dr.Craig telah memulakan tugasan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari 2025.

Show More

Related Articles

Back to top button