Dua perkampungan Orang Asli di Jeram Padang kini dapat menikmati internet berkelajuan tinggi

JERAM PADANG: Melalui projek USP Gentian Optik FTTH yang dilaksanakan oleh Telekom Malaysia (TM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dua buah perkampungan Orang Asli di Jeram Padang telah menerima kemudahan capaian internet berkelajuan tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, perkampungan tersebut adalah Kampung Orang Asli Lubuk Temenggalan yang melibatkan 24 premis dan telah beroperasi sepenuhnya mulai 22 Januari 2025.
“Turut mendapat kemudahan rangkaian internet berkelajuan tinggi ialah Kampung Orang Asli Jeram Padang yang melibatkan 32 premis dan telah beroperasi sepenuhnya mulai 25 Jun 2025.
“Projek ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan masyarakat Orang Asli tidak tersisih daripada arus pembangunan digital.
“Dengan adanya sambungan gentian optik terus ke rumah, masyarakat akan mendapat manfaat besar dalam aspek pendidikan, ekonomi, keusahawanan, perkhidmatan kesihatan digital dan komunikasi harian.
“Sebagai ADUN Jeram Padang, saya amat menghargai usaha ini dan akan terus memastikan komuniti Orang Asli di kawasan kita mendapat kemudahan asas yang setara dengan masyarakat lain,” kata beliau.
Mohd Zaidy tambah, pembangunan digital ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip kesaksamaan, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat.