Dua syarikat Jepun meterai MoU bersama Kerajaan Negeri Sembilan

OSAKA: Dua buah syarikat Jepun iaitu THP Enstek Development Sdn Bhd dan Kasumigaseki Capital (Malaysia) Sdn Bhd telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kerajaan Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kerjasama yang dijalankan ini akan melibatkan pelaburan sebanyak RM300 juta.
“Ini kerana projek ini adalah berkaitan pembangunan projek gudang automatik berteknologi tinggi di Bandar Enstek.
“Pelaburan ini akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri serta memperkukuhkan daya saing Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan berimpak tinggi.
“Dalam pada itu, sebanyak lima lagi syarikat daripada negara ini menyatakan hasrat dan komitmen mereka untuk melabur di Negeri Sembilan khususnya dalam sektor pembuatan dan logistik.
“Pelaburan ini secara tidak langsung akan membuka peluang pekerjaan baru kepada rakyat tempatan, ia juga mengukuhkan pembangunan teknologi dan inovasi.
“Kerajaan Negeri akan terus konsisten dengan dasar mesra pelabur, penyampaian perkhidmatan yang cekap, serta penciptaan ekosistem perniagaan kondusif demi memastikan Negeri Sembilan kekal sebagai hab pelaburan progresif, mampan dan inklusif di peringkat serantau dan antarabangsa,” kata Aminuddin.