Empat penganjur Bazar Aidilfitri ditamatkan serta-merta, MBS ambil alih sepenuhnya
Empat penganjur Bazar Aidilfitri di Dataran Senawang ditamatkan serta-merta berikutan kegagalan mematuhi syarat serta ketetapan penganjuran yang telah ditetapkan.
Dalam satu kenyataan media, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memaklumkan bahawa tindakan tegas tersebut diambil susulan kegagalan penganjur mematuhi perkara yang dipersetujui dalam Minit Mesyuarat Perjumpaan Datuk Bandar Bersama Penganjur-Penganjur Bazar Aidilfitri Dataran Senawang serta syarat penganjuran seperti yang dinyatakan dalam Perenggan 4, Lampiran B.
Menurut Datuk Bandar Seremban, Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, antara pelanggaran utama yang dikenal pasti ialah kegagalan penganjur mengemukakan surat tawaran atau surat setuju terima kepada peniaga yang lengkap dengan maklumat wajib termasuk nama peniaga, nombor kad pengenalan, nombor telefon, nombor petak, kadar bayaran yang dikenakan serta resit pembayaran. Selain itu, satu salinan dokumen berkenaan juga tidak dikemukakan kepada pihak MBS.
“MBS turut mendapati penganjur gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan serta telah melanggar syarat penganjuran yang ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, MBS mengarahkan semua peniaga yang terlibat supaya menghentikan serta-merta sebarang urusan penyewaan petak, pembayaran atau perjanjian dalam apa jua bentuk dengan penganjur-penganjur yang telah ditamatkan.
“Bagi urusan tuntutan deposit atau bayaran yang telah dibuat, peniaga diminta untuk merujuk terus kepada penganjur terlebih dahulu,” tegasnya.
Beliau berkata, jika tuntutan tersebut gagal diselesaikan, peniaga dinasihatkan supaya membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Dalam usaha memastikan kelangsungan penganjuran Bazar Aidilfitri Dataran Senawang serta melindungi kepentingan peniaga, MBS memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil alih sepenuhnya urusan penganjuran bazar berkenaan.
Maklumat lanjut berkaitan penempatan petak, kadar bayaran serta tatacara baharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi MBS.
Sementara itu, MBS turut memaklumkan bahawa seorang lagi penganjur Bazar Aidilfitri Dataran Senawang telah menarik diri daripada penganjuran bazar tersebut kerana tidak mampu menguruskan bazar berkenaan dengan baik.




