Festival Ghontak Nogoghi angkat budaya Negeri Sembilan

PORT DICKSON: Warisan budaya dan adat Negeri Sembilan terus diperkasa melalui penganjuran Festival Ghontak Nogoghi 2025 yang dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
Menurut Aminuddin, program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan dengan kerjasama Kerajaan Negeri itu menjadi antara inisiatif penting dalam memperkukuh sektor pelancongan budaya serta mengangkat identiti unik negeri beradat ke peringkat lebih tinggi.
“Festival yang berlangsung di Batu 1, Port Dickson itu bukan sekadar platform memperkenalkan seni dan budaya tempatan, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Penganjuran ini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan budaya yang berdaya saing, menarik pelancong dalam dan luar negara, serta memberi manfaat ekonomi kepada rakyat.
“Kerajaan Negeri memberi penekanan terhadap pembangunan produk pelancongan baharu bagi memperkukuh ekosistem pelancongan sedia ada, seiring dengan matlamat Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS 2021–2025).
“Sebanyak 60 peratus segmen pelancongan negeri memberi tumpuan kepada pelancongan pantai, diikuti 30 peratus eko-pelancongan dan 10 peratus pelancongan adat, warisan dan budaya,” kata Aminuddin.

Festival itu turut menjadi pemangkin ke arah Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, yang bakal menjadi platform memperkenalkan keunikan negeri seperti adat pepatih, seni bina rumah panjang, muzik caklempong, tarian piring lambung dan busana tradisional kebaya setengah tiang.
“Saya berharap Festival Ghontak Nogoghi dapat diteruskan setiap tahun sebagai acara tetap yang dinanti-nantikan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat dan kemakmuran negeri,” tambahnya.
Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), JKKN Negeri Sembilan serta semua rakan kerjasama yang merealisasikan kejayaan penganjuran program berkenaan.



