FIFA tiada sebarang bukti dakwa FAM “memperoleh dokumen yang dipalsukan”

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa pihak kami telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung keputusan tatatertib berkaitan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.
Dengan penerimaan dokumen ini, FAM akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.
FAM juga ingin menegaskan bahawa semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu ini telah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera melalui saluran rasmi.
FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa para pemain “memperoleh dokumen yang dipalsukan” atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan.
FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA.
Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan.
Pada setiap masa, para pemain bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM.
FAM berpendapat bahawa penggambaran ini adalah tidak tepat serta tidak adil, dan perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi.
FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan.
FAM akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk memperjuangkan kes ini.
FAM juga ingin menegaskan bahawa kes ini melibatkan dan mengandungi maklumat rasmi berhubung prosedur Kerajaan Malaysia bagi pengeluaran dan pengesahan pasport.
Selaras dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, sebarang pendedahan berkaitan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali.
Justeru, FAM terikat secara undang-undang untuk mengekalkan kerahsiaan terhadap elemen-elemen tersebut.
Oleh itu, FAM hanya akan berkongsi maklumat berkenaan dengan pihak FIFA bagi tujuan kes ini sahaja.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
Football Association of Malaysia
Sumber/Foto: Facebook Football Association of Malaysia