Flyover Seremban Gateway – Bandar Ainsdale dijangka siap April 2028
Kos projek bernilai RM194.5 juta

SEREMBAN: Projek pembinaan flyover daripada persimpangan Seremban Gateway sehingga ke Bandar Ainsdale dijangka siap sepenuhnya pada April 2028.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, projek ini telah pun diluluskan pembinaannya oleh Kementerian Kerja Raya di bawah tajuk Menaik Taraf Jalan FT362 Dari Seksyen 0.4 Ke Seksyen 3.1, Lingkaran Tengah Seremban dan Membina Jejambat Merentasi Lebuhraya Utara Selatan, Seremban, Negeri Sembilan.
“Tarikh milik tapak adalah pada 19 April 2025 dan tarikh jangka siap adalah pada 8 April 2028.
“Kos kontrak pembinaan flyover ini adalah sebanyak RM194,563,170.
“Projek ini akan diselia oleh Unit Projek Khas Zon Selatan, Cawangan Jalan, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia,” jelas Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian, semasa menjawab soalan ADUN Temiang, Ng Chin Tsai (PH) di Persidangan Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-15.
Ng bertanya berkenaan status pembinaan flyover Seremban Gateway ke Bandar Ainsdale.